Digalakkan kuarantin kendiri, jika sempat ‘rentas’ ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 15 Okt. – Individu dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dapat merentas masuk ke Melaka dinasihati untuk menjalani kuarantin kendiri dan tidak berkeliaran di tempat-tempat awam bagi mengelakkan berlakunya penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kesedaran sendiri adalah amat penting memandangkan buat masa ini tiada arahan khusus melarang atau menyekat individu dari kawasan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk masuk ke negeri lain sebelum perintah PKPB dikuatkuasakan semalam.

Bagaimanapun, pihaknya berharap agar mereka yang bergejala atau datang dari kawasan zon merah yang mempunyai kluster aktif COVID-19 untuk hadir ke pusat kesihatan terdekat bagi tujuan pemeriksaan.

“Kepada mereka dari kawasan PKPB yang sempat pulang ke negeri ini semalam memang tiada arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dikuarantin, tetapi pandangan kami di peringkat kerajaan negeri dan jabatan amatlah menggalakkan mereka untuk menjalani kuarantin kendiri.

“Bagi mereka yang bergejala atau datang dari kawasan kluster COVID-19 atau dari zon merah pula diminta untuk hadir ke pusat kesihatan yang ada di setiap daerah dalam negeri ini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kepulangan beramai-ramai warga kota ke kampung halaman masing-masing sebelum perintah PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dikuatkuasakan semalam.

Mengulas lanjut, Rahmad meminta orang ramai, khususnya rakyat negeri ini agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Pematuhan SOP sangat penting sepanjang gelombang ketiga ini. Nasihat saya agar terus amalkan penjarakan fizikal, elak tempat yang sesak dan hanya keluar rumah, jika ada urusan penting sahaja,” katanya lagi.

Views:

407
Kongsi :
Previous post PKD Alor Gajah telah dimaklumkan kesan kontak rapat dua pelajar positif COVID-19
Next post Seminar Melaka Produktif ditangguhkan
Ubah saiz-+=