Dua anggota bomba cedera ketika operasi padam kebakaran kilang

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KLEBANG 3 Mei – Dua anggota bomba cedera ketika melakukan operasi pemadaman api di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang cedera ialah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan BBP Tangga Batu, masing-masing berusia 22 tahun yang cedera di rusuk kanan dan bahagian badan.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran kilang berkeluasan 200×200 kaki persegi itu pada jam 11.20 pagi.

Katanya, seramai 25 anggota dari empat balai bomba iaitu Tangga Batu, Melaka Tengah, Ayer Keroh dan Cheng telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi pemadaman.

“Semasa operasi pemadaman terdapat bumbung runtuh dan serpihan kaca yang pecah terkena pada anggota.

“Namun, pemakaian sut perlindungan PPE telah mengelakkan daripada kecederaan lebih serius menimpa anggota berkenaan,” katanya.

Jurucakap itu memaklumkan operasi pemadaman terkawal pada jam 12.19 tengah hari.

“Kilang berkenaan terbakar 60 peratus dan punca sebenar masih disiasat,” katanya.

Terdahulu, kebakaran kilang itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong yang hadir ke lokasi bagi membantu menguruskan koordinasi kepada pasukan bomba dan pemilik kilang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3745
Kongsi :
Previous post Karate sasar tiga emas di Sukan SEA Kemboja
Next post Cuaca panas: Pihak sekolah perlu hentikan aktiviti luar bilik darjah
Ubah saiz-+=