DUA BERADIK MAUT LANGGAR RORO: SIASAT JIKA ADA PELANGGARAN SOP

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 24 September – Kontraktor pembersihan yang meletakkan kontena roro di Lebuh Sungai Udang – Paya Rumput – Ayer Keroh (SPA) hingga mengakibatkan dua beradik maut akan disiasat sama ada berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, sekiranya didapati berlaku pelanggaran atau kecuaian aspek keselematan, tindakan akan diambil kepada kontraktor terlibat.

Beliau menegaskan, dalam apa jua projek pembersihan atau kutipan sampah pukal, penting untuk semua kontraktor mematuhi syarat-syarat dan SOP keselamatan yang telah ditetapkan.

“SOP cukup penting, contohnya jarak peralatan dari bahu jalan, meletakkan barang di tempat selamat dan kawasan lapang serta pelbagai syarat-syarat yang saya rasa sudah difahami setiap kontraktor apabila dianugerahkan projek tersebut.

“Apapun, saya akan menyiasat perkara ini dan dapatkan maklumat lanjut daripada agensi berkaitan supaya kita dapat memastikan insiden malang seperti ini tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas bersiaran di Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV, di sini, hari ini.

Menurut Zulkiflee, di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan konsesi pembersihan di negeri ini, pihaknya juga tidak lagi mengizinkan tong roro ditempatkan di bahu jalan atau di kawasan rizab Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ini kerana, menurutnya, apabila diletakkan tong sampah besar itu, ia tidak lagi membantu dari segi kebersihan persekitaran, sebaliknya menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat longgokan sampah pukal seperti almari, sofa dan sebagainya.

“Setakat ini, sudah beberapa tempat (meletak tong roro) telah kita tutup kerana kita tidak mahu lagi mencemarkan pemandangan kawasan dan Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1899
Kongsi :
Previous post MOTAC LULUS 76 PROJEK DI MELAKA
Next post JKR MELAKA KOMITED SIAPKAN PROJEK IKUT MASA, HINDARI PROJEK SAKIT
Ubah saiz-+=