Dulu dibantu sekarang membantu
BANDA HILIR 21 Jan – Keperitan hidup hampir dua tahun berikutan hilang pendapatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong sekumpulan pengayuh beca, peniaga asam pedas dan cendol tampil menghulur bantuan kepada mangsa terkesan musibah banjir.
Kumpulan itu membabitkan 40 individu mewakili persatuan Abang Beca Melaka, Ole-ole Melaka Uptown Pahlawan Walk, Cendol Jam Besar Banda Hilir, Coconut Shake Batu Berendam, Madras Cafe, Cendol Kampung Hulu dan Melaka Vape Lounge.
Wakil Abang Beca Melaka, Riduan Saleh berkata, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan pengayuh beca dan peniaga khusus di lokasi tumpuan hilang pendapatan berikutan ketiadaan pelancong.
“Syukur keperitan hidup kami mendapat perhatian banyak pihak yang tampil menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian atau kewangan.
“Alhamdulillah sekarang aktiviti pengayuh beca dan peniaga sudah beroperasi seperti biasa jadi sekarang tiba masa kami pula membantu orang Alor Gajah, Selangor dan Pahang yang diuji dengan musibah banjir.
“Sebab itu, kami tampil membantu mereka dalam kesusahan sebagaimana kami pernah dibantu sebelum ini, ” katanya Ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, selepas dimaklumkan mengenai musibah melanda tiga negeri terbabit mereka memulakan usaha mengumpul bantuan termasuk sumbangan kewangan berjumlah RM20,000.
Riduan berkata, meskipun dalam tempoh singkat kumpulan itu berjaya mengumpul bantuan tunai dalam jumlah yang tinggi.
“Ada dalam kalangan kami menyumbang dalam jumlah agak lumayan, ada yang guna wang simpanan masing-masing.
“Kerjasama pengayuh beca dan peniaga bersungguh-sungguh untuk membantu mangsa terkesan banjir membuatkan hati saya tersentuh.
“Malah ada dalam kalangan ahli kami berusia 18 tahun amat teruja ingin membantu menyumbangkan tenaga, semuanya mahu membalas jasa baik masyarakat yang pernah membantu kami ketika susah dulu,” katanya.
Menurutnya, misi bantuan berlangsung selama hari itu dimulakan dengan pengagihan barangan seperti tilam dan keperluan harian kepada mangsa banjir di Krubong, sebelum bergerak ke Padang Jawa dan Klang di Selangor seterusnya ke Bentong, Pahang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.