Duta kecil semai semangat hayati Rukun Negara

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 21 Sept. – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi Teknikal & Vokasional, Sains dan Inovasi, Datuk Noor Effandi Ahmad menzahirkan rasa bangga terhadap dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas yang menjadi juara kategori sekolah menengah Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka baru-baru ini.

Beliau berkata, kemenangan Ainul Danish Salahhuddin dan Muhammad Najdi Hakim Muhamad Nasir membuktikan mereka mampu menjadi duta kecil bagi memupuk nilai-nilai penghayatan Rukun Negara dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, dia sangat gembira apabila kedua pemenang itu merupakan pelajar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Merekalah peserta yang saya lihat mendapat perhatian ramai sehingga menerima tepukan penuh semangat daripada tetamu yang hadir.

“Danish baharu tingkatan satu manakala Najdi anak Padang Temu yang matang bicaranya pula di tingkatan dua.

“Gandingan ini berjaya menewaskan peserta lain dari seluruh negeri Melaka yang lebih dewasa daripada mereka,” katanya.

Beliau berharap, Danish dan Najdi terus cemerlang dan menjadi asbab kebahagiaan ibu dan ayah mereka.

“Saya amat bangga dan bersyukur melihat potensi serta bakat hebat yang dalam diri mereka,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai pengerusi bersama program ini, Effandi memberi jaminan ia akan dijadikan acara tahunan di Melaka.

“Bersama kita martabatkan Rukun Negara sebagai wajah sebenar Malaysia tercinta.

“Hanya di Melaka, kita semarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2020 dengan penganjuran Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka buat pertama kalinya.

“Ia mendapat lebih 200 penyertaan daripada pelbagai bangsa menerusi empat kategori dipertandingkan iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan umum,” katanya.

Views:

336
Kongsi :
Previous post Pendaratan penyu karah terganggu akibat hakisan pantai
Next post 26,572 rakyat Malaysia terkandas di luar negara selamat dibawa pulang
Ubah saiz-+=