(EKSKLUSIF) 500 jemaah solat sunat Aidiladha di tujuh masjid- Mufti

1
1457
ABDUL Halim. Foto: MR. Azli

BUKIT PALAH 6 Julai – Kerajaan negeri membenarkan solat sunat Aidiladha dengan bilangan jemaah dinaikkan kepada kepada 500 orang.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, bagaimanapun ketetapan itu terpakai untuk tujuh masjid di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Ia adalah Masjid Al Azim, tiga masjid daerah dan tiga masjid institusi iaitu Masjid Cina, Masjid Selat dan Masjid MITC.

Katanya, ketujuh-tujuh masjid terbabit sebelum ini dibenarkan mengadakan solat Jumaat dengan had 250 jemaah.

ABDUL Halim melihat kit makanan untuk diagihkan kepada Japerun dan masjid negeri Melaka. Foto: MR. Azli

“Jawatankuasa COVID-19 negeri, Jawatankuasa Majlis Jabatan Mufti serta JAIM bersetuju meningkatkan bilangan jemaah dari 250 kepada 500 orang untuk semua masjid terbabit bagi solat sunat Aidiladha kali ini.

“Bagi surau dan masjid kariah bertauliah pula kekal dengan 100 jemaah.

“Selain itu, mana-mana surau juga dibenarkan mengadakan ibadat sama dengan maksimum 50 jemaah sahaja, namun perlu mengemukakan surat permohonan terlebih dahulu,” katanya.

Tambahnya umat Islam juga dibenarkan melaksanakan ibadat itu di rumah masing-masing tetapi hanya dalam kalangan individu di dalam rumah sahaja.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri penyampaian inisiatif Musa’adah Muhaffaz Al-Alamy COVID-19, di Pusat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, kerajaan negeri membenarkan takbir raya bermula pada malam Hari Raya Aidiladha iaitu pada selepas Solat Maghrib malam 10 Zulhijjah sehingga jam 10 malam mengikut bilangan jemaah ditetapkan.

“Amalan kenduri-kendara dan makan minum tidak dibenarkan termasuklah amalan ziarah Aidiladha kecuali dalam kalangan keluarga masing-masing itu sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyarankan penganjur ibadah korban untuk memanjangkan agihan daging korban kepada golongan yang memerlukan, selain akan menyarankan MAIM agar mewujudkan lebih banyak bentuk bantuan dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Masyarakat juga dinasihatkan tidak malu dengan masalah dihadapi dan menghubungi badan kebajikan jika benar-benar memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

1 COMMENT

Comments are closed.