Enam ‘ingatan’ untuk penjawat awam di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menggariskan enam perkara mustahak kepada penjawat awam di negeri ini.

Sulaiman berkata, perkara pertama yang dititikberatkan ialah mendepani pandemik COVID-19 yang seperti diketahui semakin meruncing sehingga pernah menjadikan Melaka mencatat lebih 800 kes harian sebelum ini.

Katanya, pelbagai langkah pencegahan telah diambil kerajaan negeri termasuklah usaha ke arah menghentikan kluster berkaitan kilang yang menjadi penyumbang terbesar.

Justeru, beliau meminta semua penjawat awam memainkan peranan dengan menghebah serta menyebarkan segala tindakan yang telah dilaksanakan dalam usaha menghentikan penularan wabak di negeri ini.

Selain itu, dalam amanatnya, Sulaiman turut menyentuh usaha mempercepatkan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021: Sejahtera Bersama kepada rakyat.

Jelasnya, sebanyak 60 inisiatif berjumlah RM174.53 juta telah diperuntukkan dalam pakej tersebut yang perlu sampai kepada rakyat sehingga ke peringkat akar umbi.

“Perkara ketiga ialah memperkasakan kualiti penyampaian penjawat awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Arahan BDR atau Bekerja Dari Rumah, tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberikan kualiti perkhidmatan terbaik. BDR bukan mengurangkan kualiti, bahkan cabaran lebih menambah mutu penyampaian perkhidmatan.

“Paling penting, gunakanlah pancaindera dan deria kita supaya lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling. Contohnya, jika rakyat perlukan perkhidmatan, kita cepat-cepat bantu dan permudahkan,” katanya.

Bagi perkara keempat dan kelima, Sulaiman turut menyentuh aspek digitalisasi dalam norma baharu serta membudayakan integriti dalam gerak kerja.

Manakala perkara keenam ialah penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban masa dan tenaga dalam membantu negeri Melaka memerangi pandemik COVID-19 sejak Mac tahun lalu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post (KEMASKINI) Empat masjid di Melaka jadi pusat vaksinasi
Next post 223 petugas kesihatan Melaka dijangkiti COVID-19
Ubah saiz-+=