FGV TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MACHAP JAYA 28 November – FGV Holdings Bhd menunaikan kewajipan dengan menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM200,000 kepada Zakat Melaka.

Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan FGV, Azmi Yaakob berkata, dengan peningkatan pendapatan yang diperoleh pihaknya ia secara tidak langsung membolehkan FGV menunaikan zakat perniagaan.

“Ini tahun kedua FGV menunaikan zakat di Melaka dan nilai yang dikeluarkan itu berdasarkan keuntungan yang diperoleh.

“Walaupun kita tidak meraih keuntungan yang besar di Melaka kerana operasi yang agak kecil di sini tetapi kami masih menunaikan tanggungjawab itu.

“Malah, sekiranya keadaan mengizinkan dan keuntungan kami lebih besar, Insya-Allah jumlah akan lebih besar (pembayaran) dan memberi manfaat bukan sahaja kepada komuniti FELDA tetapi penduduk Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Dan Agihan Zakat Kumpulan FGV Sempena Program FGV Seikhlas Hati, di Hutan Percha.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Datuk Mohd Banuri Aris.

Azmi berkata, berdasarkan keuntungan tahun lepas, FGV telah mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak kira-kira RM9.8 juta sepanjang tahun ini.

“Walaupun berdepan dengan cabaran perniagaan yang tidak menentu pada 2023, Alhamdulillah FGV masih dapat menunaikan zakat perniagaan kumpulan bagi dengan jumlah kira-kira RM9.8 juta,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama FGV turut menyerahkan lima buah van jenazah kepada masjid terpilih dan menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada lima institusi terpilih berjumlah RM10,000 setiap satu termasuk penyampaian sumbangan kepada 20 orang ansaf dari Felda Hutan Percha.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

57
Kongsi :
Previous post MEKAR: JPN MELAKA TERIMA 2,525 PERMOHONAN
Next post PRODUK INOVASI DARI MELAKA RAIH ANUGERAH EMAS
Ubah saiz-+=