Gerakan Koperasi pemangkin utama pertumbuhan sosioekonomi negara

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 26 April – Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan membantu pembangunan Gerakan Koperasi di Melaka bagi memastikan ia terus menjadi pemangkin utama pertumbuhan sosioekonomi rakyat.

Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @Mohd Hashim berkata perkara itu selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia (DAKOM 2030) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Katanya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memperkasa Gerakan Koperasi agar menjadi bidang keberhasilan utama ekonomi seterusnya berupaya menjana pendapatan tinggi kepada rakyat Melaka.

“Sejak tahun lalu (2023), Gerakan Koperasi yang diwakili Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) dan dikawal selia oleh SKM dilihat berpotensi merangsang pembangunan serta kelestarian Gerakan Koperasi.

“Selain itu, melalui kerjasama baik ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dengan pihak Kerajan Negeri dalam merancang dan melaksana program-program pembudayaan serta pembangunan Gerakan Koperasi di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2024 di Balairong MITC, di sini, hari ini.

Whatsapp Image 2024 04 26 At 5.46.12 Pm
LEBIH 300 anggota pelbagai koperasi di Melaka menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Gerakan Koperasi yang diadakan di Balairong MITC.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam; Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta; Pengarah SKM Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor; Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah serta kenamaan lain.

Penganjuran majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran lebih 300 tetamu terdiri daripada wakil 50 anggota koperasi seluruh negeri termasuk anggota Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata majlis sambutan Aidilfitri itu dapat membina jaringan perniagaan sesama koperasi selain menjadi medan perkongsian idea.

“Kita harap majlis ini akan dijadikan acara tahunan yang mana bukan sahaja dapat membina jaringan sesama anggota koperasi malahan ia dapat memperkukuh serta memantapkan Gerakan Koperasi Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

150
Kongsi :
Previous post ‘Kera sumbang’ selalu jadi mangsa ‘scam’
Next post Jemaah dilengkapi IPS, mudahkan pemberian rawatan
Ubah saiz-+=