‘Kera sumbang’ selalu jadi mangsa ‘scam’

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 26 April – Individu yang gemar menyendiri dan tidak bergaul dengan masyarakat menjadi antara paling tinggi direkodkan menjadi mangsa jenayah ‘scam’.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Deputi Superintendan Azmi Aziz berkata, golongan berkenaan sering menjadi sasaran kerana mereka dipercayai tidak mengetahui kewujudan taktik jenayah terbaharu itu.

Ini kerana menurutnya, golongan seperti itu hanya hidup dalam dunia sendiri, justeru mereka mudah ditipu apabila menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan.

“Apabila menerima panggilan telefon seperti contoh daripada pegawai polis, golongan seperti inilah (sering menyendiri) menjadi antara yang mudah ditipu sehinggakan sanggup memindahkan wang di dalam akaun mereka ke akaun lain.

“Sebenarnya, polis tidak pernah mempraktikkan amalan dengan panggilan telefon. Biasanya, untuk sesuatu kes kita akan memanggil mereka ke balai polis untuk siasatan atau dirakam percakapan.

“Begitu juga dengan semua agensi kerajaan yang akan berurusan secara bersemuka di pejabat. Namun golongan yang tidak mengambil tahu hal dunia ini mereka senang percaya sesuatu perkara itu betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Podcast ‘Mana Lagi, Melaka Ler’ di studio Melaka TV (MTV), di sini, hari ini.

Selain itu, menurut Azmi, sindiket penipuan di negara ini juga sering menyasarkan golongan pesara dan penjawat awam yang dipercayai mempunyai kewangan yang kukuh.

“Seperti contoh, pesara bakal menerima wang persaraan yang banyak, jadi mereka inilah yang sering menjadi sasaran sindiket ini sehinggakan ada yang mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit, malah ada yang lebih daripada itu.

“Sebenarnya, semua golongan boleh menjadi mangsa penipuan seperti ini, namun saya berpandangan bahawa kes jenayah ‘scam’ ini boleh dicegah.

“Ia berbalik kepada jati diri dan pengetahuan masyarakat. Sebab itulah di pihak polis kita akan meneruskan kempen kesedaran dalam memastikan masyarakat sedar dan seterusnya mengurangkan kes jenayah dalam talian yang berlaku pada masa kini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

61
Kongsi :
Previous post Dua penunggang motosikal maut bertembung
Next post Gerakan Koperasi pemangkin utama pertumbuhan sosioekonomi negara
Ubah saiz-+=