Golongan muda perlu cebur ternakan ikan talapia

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BUKIT KATIL 22 Ogos – Golongan belia disaran menjana pendapatan menerusi penternakan ikan talapia bagi menampung permintaan industri itu yang semakin meningkat.

Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, anak muda perlu mengambil peluang itu memandangkan industri itu tidak memerlukan modal tinggi malah khidmat dan latihan serta penyediaan benih ikan talapia disediakan oleh Jabatan Perikanan Melaka.

Malah katanya, ikan talapia kini mula mendapat perhatian dalam sektor makanan selepas jabatan itu giat menjalankan promosi makanan ikan darat atau ikan sungai.

“Golongan muda yang mahu memulakan penternakan boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan dari mula menternak sehingga ke proses menjual malah penternakan ikan talapia tidak memerlukan kawasan yang luas.

“Memadai di tanah persendirian dengan kolam bersaiz 10 x 15 kaki dan ia mampu menternak kira-kira 500 ekor ikan talapia.

“Apabila cukup tujuh bulan, ikan boleh dijual di pasaran dan saya difahamkan, harga bagi satu kilogram (kg) ikan talapia adalah kira-kira RM13,” katanya ketika ditemui selepas melawat kolam penternakan ikan talapia di Jalan Demang Husin.

Menurut Sulaiman, permintaan terhadap ikan talapia semakin tinggi dengan dianggarkan lebih 90 kg sebulan.

“Pengusaha (ternakan ikan talapia) sendiri mengakui tidak cukup bekalan untuk menampung permintaan di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Jabatan Perikanan negeri giat mengadakan promosi makanan berasaskan ikan darat atau ikan sungai.

“Sebelum ini, ikan sembilang agak sukar untuk menembusi pasaran tetapi hari ini permintaan ikan itu
terpaksa dieksport ke Kelantan dan Terengganu.

“Apabila promosi ikan sembilang telah berjaya, jadi sekarang pihak Jabatan Perikatan sedang menjalankan promosi supaya rakyat makan ikan talapia,” katanya.

Views:

1789
Kongsi :
Previous post Gondola kedua terbesar Asia bakal dibina
Next post RM500,000 atasi banjir kilat
Ubah saiz-+=