RM500,000 atasi banjir kilat
BUKIT BARU 22 Ogos – Penduduk kawasan Taman Harta Pertama, di sini boleh menarik nafas lega selepas masalah banjir kilat sejak 13 tahun lalu dapat diselesaikan dengan pembinaan sistem perparitan lebih efektif.
Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil inisiatif itu dengan membaik pulih serta menaik taraf sistem perparitan bagi mengelakkan banjir kilat di kawasan perumahan itu.
Katanya, lebih RM500,000 dibelanjakan oleh MBMB untuk menjalankan kerja baik pulih yang bermula sejak 22 Julai lalu.
“Setakat ini kerja naik taraf dan baik pulih longkang itu sudah siap kira-kira 50 peratus dan dijangka akan siap sepenuhnya pada 16 September ini.
“Kerja-kerja awal seperti mengorek sudah dijalankan dan kini hanya tinggal untuk ‘plaster’ sahaja,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada sesi lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di sini.
Turut hadir, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan taman perumahan supaya menjaga kebersihan longkang supaya masalah banjir kilat tidak berulang.
“Besar mana pun longkang yg kita buat, jika tidak menjaga kebersihan sehingga longkang tersumbat, masalah tidaÄ· akan selesai.
“Saya yakin dengan projek melebarkan longkang yang disalurkan ke kolam takungan dapat mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Taman Harta Pertama,” katanya.