Hampir kesemua kabinet PN telah isytihar harta

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 16 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memaklumkan 97 peratus  ahli kabinet Perikatan Nasional (PN) telah membuat pengisytiharan harta masing-masing setakat ini.

Perdana Menteri berkata mereka telah diberi tempoh selama tiga bulan untuk berbuat demikian selepas mesyuarat sulung kabinet pada 10 Mac lepas.

“Masa yang telah diberikan bagi saya mencukupi. Setakat ini, daripada senarai kabinet, 97 peratus telah pun menyerahkan, ada lagi lima (ahli kabinet belum isytihar), lima ini saya tak payah sebut … saya akan ambil perhatian berat dan minta supaya perkara ini disegerakan, supaya ia akan disempurnakan

“Begitu juga di peringkat timbalan menteri-timbalan menteri dan ahli Parlimen di pihak kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat, di sini.

Muhyiddin berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang ingin tahu perkembangan perkara itu  yang diisytiharkan sebagai satu komitmen kerajaan PN oleh Muhyiddin pada 11 Mac lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, turut mengucapkan tahniah kepada ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) yang telah menyelesaikan sepenuhnya pengisytiharan harta mereka.

Menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu perkembangan penggubalan Rang Undang-undang Pembiayaan Dana Politik, Muhyiddin berkata kerajaan masih menunggu laporan mengenainya daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Katanya kerajaan mengambil maklum keperluan mewujudkan rang undang-undang itu yang secara amnya telah dinyatakan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP), dan dasar tersebut telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang Parlimen pada 7 Nov lepas.

“PAC telah diminta menyediakan laporan berkaitan dasar sumbangan politik kepada kerajaan sebelum Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14, namun setakat hari ini GIACC (Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah) sebagai penyelaras RUU (rang undang-undang) sumbangan politik ini masih belum terima apa-apa laporan daripada PAC.

“Saya kira PAC baharu sahaja dibentuk … mengambil kira keadaan semasa, PAC akan teruskan penyediaan laporan berkaitan dasar sumbangan politik ini dan akan kemukakan kepada kerajaan bila siap nanti,” katanya.

Views:

333
Kongsi :
Previous post SPR siap siaga kemungkinan PRU-15
Next post MIDA kenal pasti 433 projek baharu bernilai RM97.4 bilion
Ubah saiz-+=