MIDA kenal pasti 433 projek baharu bernilai RM97.4 bilion

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KUALA LUMPUR 16 Julai – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengenal pasti 433 projek baharu bernilai RM97.4 bilion yang berpotensi untuk pelaburan di Malaysia.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata projek berimpak tinggi berkenaan dijangka memberikan kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Meskipun negara dilanda wabak COVID-19, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan terutama pemberian pengecualian cukai di bawah inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN),” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mukhriz (Bebas-Jerlun) meminta pihak kerajaan memaklumkan inisiatif dan strategi memulihkan aktiviti perdagangan dan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Beliau juga bertanya mengenai langkah segera serta pelan jangka sederhana bagi mencergaskan kembali sektor perindustrian di samping menarik aliran pelaburan asing ke dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan antara inisiatif di bawah PRIHATIN ialah pengenalan pengecualian cukai selama 10 hingga 15 tahun kepada pelaburan langsung asing baharu dalam sektor pembuatan yang melibatkan pelaburan modal berjumlah RM300 juta atau lebih.

Selain itu kerajaan turut memberikan elaun cukai pelaburan 100 peratus selama lima tahun untuk syarikat sedia ada yang memindahkan kemudahan mereka di luar negara ke Malaysia.

Mengenai keyakinan pelabur terhadap Malaysia pasca-COVID-19, Mohamed Azmin berkata agensi antarabangsa mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia melonjak pada kadar 6.3 peratus hingga 7.5 peratus pada 2021.

“Ini sekali gus menggambarkan keyakinan pelabur asing dan mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dunia,” katanya.

Bank Dunia sebelum ini dilaporkan menjangkakan pertumbuhan KDNK Malaysia mencecah 6.9 peratus memandangkan kes pandemik COVID-19 semakin berkurangan.

Tabung Kewangan Antarabangsa pula mengunjurkan KDNK sebenar Malaysia pada sembilan peratus tahun depan.

Bank Negara Malaysia dan Bank Dunia yakin ekonomi tempatan akan menunjukkan peningkatan semula yang kukuh pada separuh kedua tahun ini dipacu oleh aktiviti ekonomi yang disambung kembali.

– BERNAMA

Views:

386
Kongsi :
Previous post Hampir kesemua kabinet PN telah isytihar harta
Next post MBMB sembur racun, kawal wabak penyakit
Ubah saiz-+=