Sorting by

×

HARAP SIASATAN TERHADAP ISMAIL SABRI DILAKSANAKAN SECARA PROFESIONAL, ADIL- AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TABOH NANING 7 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berharap siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilakukan secara profesional dan adil.

Ahmad Zahid, menghormati siasatan dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ismail Sabri, namun berharap ia dilakukan dengan terperinci agar keadilan dapat ditegakkan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, telah mengeluarkan kenyataan bahawa BN tidak menerima sebarang makluman mengaitkan kes Ismail Sabri dengan parti berkenaan.

“Secara peribadi, saya juga pernah mengalami keadaan itu jelas apabila kes saya dibawa ke Mahkamah. Walaupun pelbagai pihak yang melemparkan tuduhan dan sebagainya, akhirnya keadilan telah ditegakkan.

“Saya harap perkara yang sama akan dapat berlaku di mahkamah, itulah harapan kita kepada SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Datuk Muhamad Khair Razman Mohammed Annuar; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain

Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Ismail Sabri merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah ‘safe house’ susulan serbuan dilakukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TPM PUJI MELAKA DESTINASI PELANCONGAN UTAMA NEGARA
Next post MAIM AGIH 5,000 PEK BERBUKA SEPANJANG RAMADAN