Sorting by

×

TPM PUJI MELAKA DESTINASI PELANCONGAN UTAMA NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TABOH NANING 7 Mac – Usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri Melaka dalam memposisikan kedudukannya selaku destinasi pelancongan utama negara mendapat pujian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Melaka terus unggul dalam sektor pelancongan menerusi promosi Tahun Melawat Melaka dilaksanakan dengan jayanya sepanjang tahun lalu.

Bukan itu sahaja, malah beliau berkata, bumi bersejarah ini terus mendapat tumpuan dunia apabila bakal dihadiri delegasi Menteri Pelancongan dunia bersempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada September depan.

Selain itu, ujar beliau, pelancongan di negeri ini juga dijangka akan mendapat perhatian pada tahun depan menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).

“Jadi untuk tiga tahun berturut-turut, Melaka akan menjadi tumpuan dan destinasi pelancongan utama negara.

“Pastinya, saya amat berbangga melihat apa yang telah dilakukan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana berjaya menjadikan Melaka sebagai negeri contoh di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Datuk Muhamad Khair Razman Mohammed Annuar; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5
Kongsi :
Previous post MELAKA TERIMA PERUNTUKAN RM9.7 JUTA BINA BAHARU, BAIK PULIH RUMAH PPRS
Next post HARAP SIASATAN TERHADAP ISMAIL SABRI DILAKSANAKAN SECARA PROFESIONAL, ADIL- AHMAD ZAHID