
MELAKA TERIMA PERUNTUKAN RM9.7 JUTA BINA BAHARU, BAIK PULIH RUMAH PPRS
TABOH NANING 7 Mac – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM9.7 juta bagi Projek Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di Negeri Melaka tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PPRS yang dijenamakan daripada Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) merupakan program pembasmian kemiskinan luar bandar menerusi projek bina baharu dan baik pulih rumah bagi golongan miskin dan miskin tegar.
Menurut beliau, bagi Negeri Melaka, peruntukan itu meliputi projek bina baharu 61 unit rumah dan 209 unit rumah lagi bagi projek Baik Pulih.
“Projek PPRS ini merupakan satu penambahbaikan baharu daripada PPRT di mana kita telah meningkatkan jumlah peruntukan bagi program bina baharu dan baik pulih rumah di seluruh negara.
“Bukan itu sahaja, malah, jumlah pembinaan baharu rumah juga telah ditingkatkan, di mana kita turut menyelaras projek ini bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meningkatkan kesejahteraan hidup golongan miskin dan miskin tegar di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Sri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Datuk Muhamad Khair Razman Mohammed Annuar; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyerahkan replika cek peruntukan PPRS kepada Ab Rauf pada program tersebut.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan rumah pertama PPRS yang berjaya disiapkan iaitu kepada Noraiman Norizan yang merupakan seoranb pekerja am ladang kelapa sawit dan mempunyai isteri dan seorang anak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.