Harga runcit minyak masak sawit tulen kekal sehingga 7 Mei – Salahuddin

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 3 April – Kerajaan dan pihak industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak tulen untuk tempoh 8 April hingga 7 Mei ini bagi memastikan pengguna tidak terjejas dengan kenaikan harga runcit minyak masak sawit tulen menjelang sambutan Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata harga runcit maksimum bagi minyak masak kelapa sawit tulen (botol) adalah RM 6.90 bagi kuantiti 1 kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM 30.90 bagi 5kg.

“Pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol ini melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik berdasarkan nilai tuntutan sebenar.

“Pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti iaitu individu boleh didenda RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Selain itu, Salahuddin berkata KPDN akan meneruskan pemantauan di samping menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN.

“Maklumat boleh disalurkan secara rasmi melalui saluran portal eaduan.kpdn.gov.my, aplikasi Whatsapp menerusi talian 019-2794317 dan Ez ADU KPDN,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah untuk Mac berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000 per tan matrik.

Beliau berkata purata harga minyak sawit mentah untuk Mac 2023 adalah sebanyak RM4,139 per tan matrik berbanding RM3,908 per tan matrik pada Februari 2023 sekali gus menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan harga siling bergerak.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

774
Kongsi :
Previous post Kakitangan Perangkaan Pahang maut kereta bertembung lori
Next post Butik Rahmah sedia lebih 15,000 baju raya percuma
Ubah saiz-+=