Hari Belia Negara 2024 sasar 2.5 juta penyertaan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 17 Februari – Sambutan Hari Belia Negara 2024 yang akan diadakan pada Mei depan menyasarkan penyertaan seramai 2.5 juta anak muda di seluruh negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, sambutan pada 25 Mei depan itu akan diadakan secara serentak di seluruh negara, manakala program di peringkat kebangsaan akan diadakan di Melaka.

Jelas beliau, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah sambutan tersebut adalah tepat memandangkan tahun ini merupakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Sasaran Hari Belia Negara 2024 ini kita meletakkan sasaran tinggi dengan penyertaan 2.5 juta orang di seluruh negara.

“Acara penting ini akan dihadiri dan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mana pada hari tersebut, beliau akan menyampaikan amanat secara terus kepada belia.

“Bagaimanapun, lokasi penganjuran dan perkembangan program serta aktiviti akan dimaklumkan kemudian kerana ia masih di peringkat perbincangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup K-JOM di Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Adam Adli turut memaklumkan Hari Belia Negara merupakan program induk kepada penganjuran Program Kembara Jumpa Orang Muda (K-JOM).

Jelasnya, program K-JOM yang bermula di Melaka akan meneruskan sesi jelajahnya ke semua negeri dan dijangka selesai sebelum sambutan Hari Belia Negara pada Mei depan.

“Menerusi K-JOM itu juga membolehkan pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf pelan secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS dan ia akan digunakan untuk ke arah memuktamadkan pelan yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668].

“Antara kandungan utama kepada pindaan Akta ke arah penguatkuasaan dan pindaan Akta 668, Pindaan 2019 ialah untuk menurunkan had umur belia kepada 30 tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1442
Kongsi :
Previous post Pelawa jurugambar ke tapak UNESCO Melaka
Next post Temui ajal ketika berehat bawah khemah
Ubah saiz-+=