Ibu mohon rakyat Malaysia bantu Nur Khayla

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PENGKALAN BATU 18 Mac – Siapa dapat menyangka bayi perempuan yang pada asalnya dilahirkan normal telah disahkan menghidap penyakit kegagalan fungsi hati atau Biliary Atresua (BA).

Berita duka itu diketahui selepas lima hari adik Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham, 19 bulan, dilahirkan.

Ibunya, Noreen Ismail, 35 berkata, disebabkan penyakit itu, anaknya terpaksa menjalani pembedahan pemindahan hati dengan kos rawatan berjumlah RM250,000.

Menurutnya, setakat ini wang terkumpul secara keseluruhan bernilai lebih RM70,000 dan masih berbaki RM180,000 lagi perlu untuk membolehkan permata hatinya itu menjalani pembedahan.

“Sebelum ini Nur Khayla Azzahra pernah melakukan Kasai Procedure sebagai kaedah pertama iaitu pembedahan duktus hempedu yang rosak dan penyambungan bahagian usus terus ke hati supaya hempedu dapat mengalir dari hati ke hati terus ke usus.

“Pembedahan tersebut dilakukan bagi mengelakkan hati Khayla menjadi lebih teruk, dan perlu jalani rawatan susulan kini apabila kesihatannya tidak begitu baik.

“Kini dia memerlukan pembedahan pemindahan hati dengan kos yang lebih tinggi,” katanya ketika ditemui di kediaman mentuanya di Bukit Baru, di sini, hari ini.

Noreen berkata, sebagai ibu, dia tidak sanggup melihat keadaan anak bongsunya yang diuji dengan masalah kesihatan sedemikian rupa.

Justeru, dia sendiri sanggup menderma 20 peratus daripada hatinya kepada Nur Khayla.

“Saya risaukan anak saya, sebab saya ada masuk satu ‘kumpulan’ di laman sosial untuk anak-anak yang mempunyai masalah sakit begini, dan sedihnya bila melihat hari-hari ada kanak-kanak meninggal dunia, saya rasa selagi bernyawa saya kena berusaha.

“Saya memohon bantuan daripada rakyat Malaysia untuk membantu mencukupkan dana bagi urusan rawatan Khayla, semoga dengan ihsan daripada semua dapat membantu kos rawatan Khayla, hanya Allah SWT yang mampu membalas,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang dan mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Noreen di talian 016-3279252 atau suami di 018-3705480 atau salurkan sumbangan ke akaun Maybank 569963044145 atas nama suaminya Mohamed Khairul Idhham Khairuddin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post Dataran Keris Alor Gajah berwajah baharu
Next post Cuaca panas dijangka kekal hingga April
Ubah saiz-+=