IHTIRAM: 100 imam Hafiz Tarawih Ramadan ditempatkan di masjid, surau Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PENGKALAN BATU 17 Mac – Seramai 100 imam Hafiz Tarawih Ramadan dilantik akan ditempatkan di masjid dan surau terpilih di seluruh negeri ini sepanjang Ramadan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia merupakan sebahagian daripada program IHTIRAM yang mengisi kalender Bulan Pelancongan Islam yang disusun sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Pelbagai program Islamik telah disusun sepanjang Bulan Pelancongan Islam sempena TMM2024 tahun ini.

“Selain penganjuran IHTIRAM, Kerajaan Negeri juga mendatangkan imam khas dari Mesir iaitu Syeikh Abd Aziz Al-Ghanim yang akan turut mengimamkan solat tarawih di masjid-masjid terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Iftar Jamaie Mega Sempena Bulan Pelancongan Islam dan Program Ihya’ Ramadan 1445H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024 di Dataran Masjid Al Azim, di sini, semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya, Datul Wira Abdul Razak Abdul Rahman; serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf dalam ucapannya memaklumkan, Kerajaan Negeri menerusi MAIM telah melebarkan instrumen fidyah kepada golongan pelajar yang latar belakang keluarganya adalah daripada kumpulan B40.

Menurut Ketua Menteri, inisiatif itu diperkenalkan pada 2023 dan diteruskan lagi pada tahun ini membabitkan seramai 811 pelajar daripada lima buah institusi pengajian tinggi (IPT) terpilih.

“Lima IPT itu ialah Politeknik Melaka, Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Kolej Profesional MARA Bandar Melaka, MICOST dan Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA).

“Kesemua pelajar ini akan menerima wang saku one-off berjumlah RM200 dengan kos keseluruhan RM162,200.

“Selain itu, MAIM juga akan mengagihkan wang fidyah kepada golongan fakir miskin yang berdaftar di MAIM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

493
Kongsi :
Previous post 28 institusi tahfiz swasta Melaka terima sumbangan RM268,800
Next post Fidyah: 811 pelajar B40 terima sumbangan wang saku
Ubah saiz-+=