mahkamah

Insaflah, minta ampun dengan Allah, kata Hakim kepada lelaki rogol, lakukan seks luar tabii

PUTRAJAYA, 15 Dis – Hakim Mahkamah Rayuan hari ini menasihati seorang lelaki yang dihukum penjara 20 tahun dan 12 sebatan kerana merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita, supaya meminta ampun dengan Allah atas perbuatannya itu.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut menasihati Mohamad Nurhadi Othman, 31, agar tidak mengulangi kesalahan sama apabila keluar dari penjara.

“Kamu orang Islam, maka bersungguh-sungguhlah minta ampun dengan Allah sepanjang tempoh kamu di penjara dan solat lima waktu. Saya harap apabila kamu keluar dari penjara nanti, kamu benar-benar insaf,” kata Hakim Ghazali.

Terdahulu panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak rayuan Mohamad Nurhadi, selaku perayu untuk mengetepikan hukuman penjara dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, pada 14 Mei 2019.

“Kamu memang bernasib baik kerana hukuman terhadap kamu diperintahkan berjalan secara serentak. Ada (tertuduh) yang dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun…ada yang menjalani hukuman penjara 15 tahun dahulu, selepas habis, sambung lagi 15 tahun…mati pun dalam penjara.

“Hukuman yang dijatuhkan sebelum ini adalah munasabah dan tiada alasan untuk mahkamah ini mengganggu dapatan mahkamah sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan hukuman sebelum ini dikekalkan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Ghazali.

Mohamad Nurhadi sebelum ini dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi tiga pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap wanita berusia 21 tahun itu di sebuah kedai pakaian di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Terengganu antara 10.10 hingga 10.55 malam, 1 Ogos 2018, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Lelaki itu juga dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan atas tuduhan merogol wanita itu yang bekerja di kedai tersebut di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Sesyen 376 kanun sama.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak menjadikan hukuman yang perlu dijalani lelaki itu ialah penjara 20 tahun dan 12 sebatan. Dia juga sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan, kerana merompak mangsa sama namun tidak merayu bagi hukuman kesalahan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul [email protected] berhujah, perayu telah merancang untuk melakukan perbuatan itu kerana sehari sebelum kejadian, dia berada di sebuah kedai serbaneka bersebelahan dengan tempat kerja mangsa.

Atiqah berkata berdasarkan fakta kes semasa mangsa berada di tempat kerjanya, perayu telah datang dan memintanya untuk mencuba pakaian yang ingin dibelikan untuk teman wanitanya.

“Ketika mangsa mencuba pakaian, perayu telah mengacukan pisau ke leher wanita itu sebelum merogol, meliwat dan memaksa mangsa melakukan seks oral terhadapnya. Perayu juga telah merompak dua utas gelang emas mangsa,” katanya yang turut memaklumkan kejadian itu memberi kesan trauma terhadap mangsa.

Peguam Mohamad Nor Hisam Hussain, yang mewakili perayu berhujah anak guamnya telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain memohon hukuman penjara minimum.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
jenayah Previous post Rompak berkumpulan: Perintah reman pegawai agensi penguat kuasa disambung
photo_2021-12-15_18-07-09 Next post KM, EXCO dan ADUN BN Melaka lafaz ikrar bebas rasuah