WhatsApp Image 2021-11-28 at 12.07.27 PM

Intervensi kerajaan berjaya stabilkan bekalan dan harga ayam

SERDANG, 6 Ogos – Langkah intervensi yang dilaksanakan kerajaan dalam memastikan jaminan sekuriti bekalan makanan negara telah menunjukkan hasil apabila harga ayam kini dijual lebih rendah berbanding harga siling RM9.40 sekilogram, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP), melaksanakan sekatan eksport ayam dan mewujudkan stok pail ayam dan ikan.

Dalam langkah intervensi itu, katanya kerajaan buat pertama kalinya memberikan subsidi berjumlah RM 1.1 bilion bagi meringankan beban penternak ayam sekali gus memastikan bekalan pengeluaran ayam dan telur mencukupi serta menjamin kestabilan harga.

“Langkah-langkah ini terbukti telah menunjukkan kejayaan kerana hari ini bekalan ayam bukan sahaja berlebihan, bahkan harga ayam lebih rendah daripada paras harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM 9.40 sekilogram,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2022, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata di sebalik kepincangan rantaian bekalan makanan dunia, kerajaan kekal komited dalam mengurus isu kekurangan bekalan makanan biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan.

“Kerajaan berusaha menangani manipulasi ‘orang tengah’ dan ‘kewujudan kartel’ dalam sektor pertanian dan rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi,” katanya.

Semalam, katanya Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan makanan ternakan yang bersekongkol dalam menaikkan harga makanan ayam dan ini merupakan amaran kerajaan terhadap kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran.

Ismail Sabri turut mengimbau bahawa beliau pernah mengisytiharkan ‘jihad memerangi orang tengah’ pada 2014 ketika menerajui Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan ia dilakukan kerana tindakan orang tengah yang mengeksploitasi petani dan nelayan dengan memanipulasi harga di pasaran.

“Saya mahu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meneruskan jihad ini menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi-agensi di bawahnya seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani serta pasar nelayan,” katanya.

Ismail Sabri berkata dalam Rancangan Malaysia ke-12, sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun, sekali gus menjadikan sektor tersebut sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik dan di bawah jawatankuasa itu, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan yang dihadapi negara.

Ismail Sabri berkata beberapa langkah dan strategi berorentasikan perdagangan, pengeluar dan pengguna telah diperkenalkan oleh kerajaan antaranya untuk mengurangkan kebergantungan kepada import bekalan makanan yang mencecah RM60 bilion pada tahun lepas.

Selain itu, katanya usaha untuk menarik pelabur asing untuk melabur dalam projek sektor agromakanan negara serta mengalakkan penglibatan agresif agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pihak swasta dalam agenda menjamin sekuriti makanan negara.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga memastikan isu sekuriti makanan negara sentiasa diberi perhatian menerusi Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara dan Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Beliau berkata MAFI sebagai peneraju utama sektor agromakanan perlu memastikan setiap perancangan, setiap dasar dan pelan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan dan ketahanan sistem agromakanan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menerusi MAFI akan memperkenalkan Skim Insurans Takaful Agromakanan melibatkan keseluruhan sektor agromakanan sebagai sebahagian langkah memperkasakan sistem sekuriti makanan negara.

Sebagai permulaan, subsektor padi dan beras dipilih sebagai projek rintis yang bakal memanfaatkan seramai 189,500 pesawah padi sebelum diperluas secara peringkat kepada sektor lain seperti perikanan, tanaman dan subsektor industri makanan lain.

“Skim ini bertujuan mengurangkan implikasi kewangan akibat kehilangan hasil tanaman berikutan berlakunya bencana alam seperti banjir dan kemarau serta gangguan wabak penyakit.

“Para pesawah akan dipastikan menerima ganti rugi atau pampasan yang setimpal sekiranya berlaku gangguan terhadap produktiviti pengeluaran padi negara seperti bencana alam atau wabak penyakit,” katanya.

Beliau berkata MAFI melalui Agrobank juga telah memperuntukkan sebanyak RM800 juta kepada komuniti pertanian di bawah Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM), bagi meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Berikutan sambutan yang menggalakkan, Ismail Sabri berkata kerajaan telah bersetuju menambah RM200 juta di bawah DPAKM, menjadikannya RM1 bilion bagi manfaat seluruh komuniti pertanian agromakanan negara.

Beliau berkata Agrobank juga akan menubuhkan sebuah entiti pelaburan khusus dalam masa terdekat untuk sektor pertanian bagi meningkatkan pelaburan domestik dalam sektor agromakanan negara.

Mengenai MAHA 2022, Ismail Sabri berkata pemilihan tema “Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan”, adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan memperkukuh sekuriti makanan negara dalam menghadapi pelbagai cabaran selain memacu pemulihan sektor agromakanan dan membantu usahawan tani menjana sumber pendapatan.

Beliau berkata penganjuran MAHA serentak dengan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan yang diraikan setiap 6 Ogos, menjadi wacana terbaik untuk mengetengahkan pelbagai produk baharu berkaitan pertanian yang bersandarkan teknologi terkini yang memberi manfaat kepada golongan sasar.

Bagi edisi kali ini, katanya MAHA dianjurkan pada ambang bermulanya pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0. Penggubalan DAN 2.0 yang merupakan usaha kerajaan menjamin sekuriti makanan melalui transformasi sistem makanan negara serta melakar hala tuju negara dalam sektor tersebut sehinggalah 2030.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
WhatsApp Image 2022-08-06 at 2.13.42 PM Previous post Karnival Kerjaya Pelancongan sedia lebih 1,000 kekosongan jawatan
ayam Next post Belum ada tarikh tarik balik sekatan eksport ayam – Nanta