Karnival Kerjaya Pelancongan sedia lebih 1,000 kekosongan jawatan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 6 Ogos – Karnival Kerjaya Pelancongan 2022 bermula semalam hingga esok menawarkan 1,012 kekosongan jawatan melibatkan lima sub sektor.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, sebanyak 906 jawatan berkenaan ditawarkan dengan gaji pokok RM1,500 sehingga RM2,000 sebulan.

ANTARA pihak industri terlibat yang menawarkan kekosongan jawatan

“Manakala, 106 jawatan ditawarkan gaji pokok melebihi RM2,000 sebulan, bagi penempatan pekerjaan pula sebanyak 345 jawatan adalah di Melaka manakala 667 jawatan di negeri lain.

“Lima sub sektor ditawarkan adalah perhotelan sebanyak 477 kekosongan, pengangkutan darat (249), pembinaan lebuh raya (165), pengangkutan udara (100) dan taman tema (21),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan walkabout karnival berkenaan di Hotel Quayside Dataran Sungai Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Exco Negeri Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancong (BPP) Melaka, Saari Basiron.

ANTARA calon yang hadir bagi sesi temuduga

Mengulas lanjut, Santhara menggalakkan generasi muda supaya mengambil peluang mendapatkan pekerjaan pada karnival tersebut.

“Anak-anak muda ambil peluang khususnya dalam sektor pelancongan kerana peluang yang sangat besar untuk mendapatkan pekerjaan.

“Saya juga difahamkan kalau ada yang tidak fasih Bahasa Inggeris mereka akan dilatih oleh pihak industri selain mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Karnival berkenaan merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1776
Kongsi :
Previous post Lelaki cedera ditoreh pisau kerana mengadu ke SPRM
Next post Intervensi kerajaan berjaya stabilkan bekalan dan harga ayam
Ubah saiz-+=