IPD Melaka Tengah baharu di Krubong

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 9 Februari – Kompleks Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang baharu dirancang dibina di atas tapak seluas 12.21 ekar di Krubong, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, cadangan itu adalah susulan lawatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Ruji Ubi ke IPD Melaka Tengah pada 2 Februari lalu.

“Hasil lawatan mendapati bilik senjata sedia ada tidak selamat, selain bangunan berkenaan tidak mampu menempatkan semua bahagian dibawah satu bumbung. Keadaan ini dilihat akan memberikan implikasi terhadap sistem tadbir urus dan kawal selia IPD Melaka Tengah.

“Cadangan pembinaan IPD Melaka Tengah baharu telah diangkat dalam Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 iaitu ‘rolling plan’ ke-5 dengan anggaran kos sebanyak RM250 juta,” katanya ketika berucap sempena Sesi Lawatan dan Ramah Mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di IPD Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi.

Hadir sama barisan Exco Kerajaan Negeri; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Ketua Polis Negeri, Datuk Wira Zainol Samah.

Ab Rauf berkata, bangunan IPD Melaka Tengah dibina pada 1924 dan pada mulanya dijadikan sebagai pejabat pentadbiran semasa kolonial Inggeris dikenali sebagai ‘Malaccavolunteer drill hall’ bagi pasukan ‘the straits settlement volunteer force’ (SSVF) sehingga tahun1948.

“Sementara bangunan baharu siap, pejabat pentadbiran IPD Melaka Tengah dicadang dipindahkan ke Kompleks Wisma Wawasan di Batu Berendam.

“Selain itu Polis Kontinjen Melaka turut mengemukakan permohonan pembinaan Kompleks Balai Polis Ayer Keroh yang baharu yang kini beropesi di rumah kedai yang disewa sejak 2007.

“Cadangan tapak baharu balai polis ini adalah di tapak seluas 6.022 ekar di Ayer Keroh dengan anggaran kos RM50 juta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8220
Kongsi :
Previous post Anwar bangga badan penguatkuasaan berani ambil tindakan terhadap perasuah, penjenayah
Next post Baiki rumah penjawat awam daif tahun ini – PM
Ubah saiz-+=