Jambatan Sungai Bukit Nibong atasi masalah banjir

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER MOLEK 21 Jun – Sebuah jambatan konkrit akan dibina di Sungai Bukit Nibong bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata pembinaan jambatan baharu itu adalah bagi menggantikan jambatan lama yang menghalang laluan air.

Ujarnya, kira-kira RM 150,000 peruntukan dari Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka bagi membina jambatan baharu itu dan memberi manfaat kepada penduduk yang berada di kawasan Sri Mawar, Bukit Nibong.

“Tujuan kita bina jambatan baharu kerana, sungai semakin dalam dan jambatan sedia ada menjadi terlalu rendah, ia juga menjadi punca air susah untuk mengalir kerana menghalang dan sampah sangkut di jambatan terlalu banyak sehingga menghalang penduduk dari menggunakan jambatan itu.

“Jambatan ini merupakan medium perhubungan antara kampung ke kampung, jadi ia adalah alternatif dan kita jangkakan jambatan ini akan siap dalam tempoh dua bulan akan datang kerana kerja-kerja pembinaan telah mencapai 40 peratus,” katanya selepas membuat tinjauan ke tapak projek pembinaan jambatan kontrik di Sungai Nibong, di sini hari ini kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut Rahmad berkata, beliau turut sempat menjalankan lawatan berkala ke Sungai Paya Redah berikutan aduan berlakunya pencemaran air dan udara di sungai itu.

Ujar Rahmad, beliau telah meminta pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil sampel air sungai tersebut bagi menjalankan kajian.

“Kita dapati air sungai ini keruh, dan hasil aduan orang awam serta penduduk setempat memaklumkan bahawa bau terlalu busuk sehingga menjejaskan aktiviti harian.

“Di sekitar sungai ini juga terdapat beberapa kandang lembu dan terdapat kilang ayam berhampiran, namun kepastian punca pencemaran ini masih dalam kajian dan tidak menuduh mana-mana pihak. Tunggu hasil siasatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1157
Kongsi :
Previous post Kerajaan tarik balik permohonan kebenaran merayu kes kematian tahanan dalam penjara
Next post Cubaan bunuh diri: KKM tunggu maklum balas AGC
Ubah saiz-+=