Sorting by

×

Kerajaan tarik balik permohonan kebenaran merayu kes kematian tahanan dalam penjara

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PUTRAJAYA, 21 Jun – Ibu kepada pekerja kilang Kamarulnizam Ismail yang meninggal dunia di penjara lapan tahun lepas akan mendapat ganti rugi sebanyak RM302,800 setelah kerajaan menarik balik permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Peguam M. Visvanathan yang mewakili Rahaya Salleh, ketika dihubungi berkata kerajaan memfailkan notis pemberhentian permohonan kebenaran merayu pada 17 Jun lepas.

Permohonan kebenaran merayu itu sepatutnya didengar di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Visvanathan berkata berikutan penarikan balik permohonan kebenaran merayu oleh kerajaan, keputusan Mahkamah Rayuan yang memberikan award RM302,800 kepada Rahaya kekal.

Beliau berkata kerajaan juga perlu membayar faedah serta kos sebanyak RM36,000 untuk prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 Julai tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk M. Gunalan memberikan Rahaya award sebanyak RM250,000 sebagai ganti rugi am untuk kecuaian dan RM40,800 untuk tanggungan tuntutan, RM10,000 sebagai ganti rugi khas dan RM2,000 untuk perbelanjaan pengebumian.

Semasa menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan, Ahmad Nasfy berkata Kamarulnizam, 39, diletakkan di bawah reman dari satu lokap ke lokap yang lain dan melalui proses soal siasat yang panjang oleh pasukan penyiasat berbeza.

Beliau berkata Kamarulnizam didakwa pada 4 Mac 2014 dan dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan dimasukkan ke dalam lokap sebelum dibawa ke penjara Tapah sehari kemudian.

Ahmad Nasfy berkata keadaan kesihatan Kamarulnizam telah merosot dan tiada seorang pun dalam pasukan polis yang mempedulikan perkara itu.

Beliau berkata penyakit radang paru-paru Kamarulnizam tidak mungkin berlaku dalam tempoh semalam dan dia juga tidak mendapat perhatian dari segi perubatan.

Dilaporkan Mahkamah Majistret Pulau Pinang telah menjatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara 14 hari terhadap Kamarulnizam selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1957 dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

Kamarulnizam, yang bekerja di sebuah kilang gula di Pulau Pinang, memilih untuk menjalani hukuman penjara kerana memerlukan wang itu untuk memperbaiki kereta meskipun bapanya hadir di mahkamah untuk membayar denda.

Rahaya, 72, memfailkan saman itu terhadap polis, pegawai penjara dan kerajaan pada 3 Mac 2017 dan menuntut ganti rugi bagi tuntutan tanggungan, misfeasans atau salah guna kuasa dalam jawatan awam serta ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas setelah anaknya meninggal dunia di penjara Tapah pada 2014.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

862
Kongsi :
Previous post Fiesta Bendang kembalikan nostalgia lama
Next post Jambatan Sungai Bukit Nibong atasi masalah banjir
Ubah saiz-+=