Jamiyah DMDI Singapura ceriakan anak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BUKIT KATIL 7 Feb – Jamiyah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Singapura menyalurkan sumbangan berjumlah RM456,000 kepada Yayasan DMDI bagi membantu mangsa terkesan banjir.

Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi membantu negeri terjejas seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Sumbangan adalah dalam bentuk barangan kegunaan harian. Sebagai permulaan, di Melaka sumbangan diagihkan kepada 120 murid memerlukan dari sembilan sekolah.

“Murid berkenaan yang dikenal pasti Jabatan Pendidikan Negeri menerima barangan kelengkapan sekolah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada murid-murid sekolah di Dewan Tun Ali di sini, hari ini.

Ujarnya, Yayasan DMDI juga akan menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian bagi peringkat kedua di Melaka selepas mendapat senarai barangan diperlukan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Yayasan DMDI juga ada membuka ‘Mini Food Bank’ di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh…sesiapa yang perlu bantuan boleh datang dan bawa kad pengenalan untuk mendapatkan bekalan makanan yang disediakan,” katanya.

Sementara itu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kerubong, Dania Qistina Muhammad Azhari Juslin, 12, meluahkan rasa gembira dan syukur atas keprihatinan DMDI.

Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mengadakan sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan murid sekolah daripada Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka. Foto: MR. Azli

“Terima kasih kepada Yayasan DMDI dan Jamiyah Singapura kerana memberi bantuan sekolah kepada kami hari ini.

“Pemberian ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk sekolah dan belajar bersungguh-sungguh, sudah tentu kawan-kawan daripada keluarga susah gembira dapat bantuan ini,” katanya.

Bagi Muhammad Huzaiman Hilmi Samsuri, 12, sumbangan diterima menyuntik semangat dalam dirinya untuk berusaha bersungguh-sungguh sekali gus menjadi murid paling cemerlang di sekolah.

“Saya ucapkan terima kasih kerana memberikan barangan persekolahan… saya gembira kerana segala barangan ini dapat digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1075
Kongsi :
Previous post Dominant Opto Technologies labur RM1.3 bilion – Ab Rauf
Next post Agong berkenan saksi persembahan demonstrasi antikeganasan PDRM
Ubah saiz-+=