Jenama ‘Apai Mobile Repair Centre’ UTeM johan Cabaran Niaga Francais Malaysia 2021

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

DURIAN TUNGGAL 2 Dis – Penghasilan jenama ‘Apai Mobile Repair Centre’ melayakkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul juara Cabaran Niaga Francais Malaysia 2021 selain merangkul Anugerah Video Montaj Terbaik di Malaysia Franchise Awards 2021.

Kejayaan itu melayakkan UTeM membawa pulang wang tunai RM20,000 bersama geran perniagaan Francais sebanyak RM100,000, trofi dan sijil penyertaan, manakala bagi video montaj terbaik berjaya membawa pulang wang tunai RM500.

UTeM diwakili Mohammad Muadzan Abd Rahman (24 tahun), pelajar Ijazah Sarjana Muda Mekatronik dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang merupakan Pengasas Apai Mobile Repair Centre bersama Muhammad Syafiq Abd Talib (21 tahun), pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Automatif), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

Kumpulan ini di bawah bimbingan Pensyarah Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE) UTeM, Dr. Isma Addi Jumbri.

Menurut Dr Isma ia detik bersejarah buat UTeM dan peserta kerana pertama kali UTeM menyertai dan merangkul johan di Malaysia Franchise Awards 2021.

“Kejayaan ini membuktikan pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan, malah ditambah dengan bimbingan dan perkongsian kepakaran dalam bidang perniagaan serta keusahawanan.

“Menyentuh mengenai impak projek ini kepada nasional dan dunia, projek perniagaan ini sudah tentu mempunyai peluang besar untuk dikembangkan melalui model francais hingga ke pasaran global.

“Pelajar UTeM yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan ini turut menjadi elemen penyumbang kepada kebolehpasaran graduan dan bertindak sebagai penjana pekerjaan seperti dihasratkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Apai Mobile Repair Centre yang terletak di Bandar Bestari Jasin akan berkerjasama dengan CREATE bagi melatih pelajar-pelajar UTeM yang berminat membuka perniagaan membaiki telefon bimbit melalui konsep francais khususnya para pelajar dalam kumpulan B40 dan ke bawah.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Dr Ghazali Omar berkata, kejayaan ini jelas mempamerkan UTeM mampu melahirkan mahasiswa yang seimbang dan holistik.

“Universiti sentiasa memberikan sokongan dan melihat kepentingan aspek keusahawanan yang menjadi agenda negara dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“UTeM mampu menjana mahasiswa aliran kejuruteraa yang berdaya saing hebat dalam arena perniagaan dan keusahawanan dan bukan hanya di peringkat nasional malah berpotensi menawan pasaran dunia,” katanya lagi.

Anugerah itu diumumkan pada majlis Malaysia Franchise Awards 2021 yang disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi MFA, Datuk Dr Radzali Hassan.

Majlis anugerah itu merupakan anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah berlangsung di Putrajaya, semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1285
Kongsi :
Previous post Dua kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Simpang Pulai-Cameron Highlands
Next post 139 kes positif COVID-19 Sekolah Seri Puteri stabil
Ubah saiz-+=