Jenazah bekas pengarang Melaka Hari Ini selamat dikebumikan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 11 Mei – Jenazah bekas Pengarang Melaka Hari Ini M. Jeffri Razali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Temu pada jam 11 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Surau Selat Taman Padang Temu Indah yang dihadiri seramai kira-kira 100 ahli keluarga dan sahabat handai.

Turut hadir, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis yang turut sama mengiringi jenazah dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada waris.

Allahyarham berusia 54 tahun meninggalkan seorang balu, Umirah Fuziah Atan, 51 dan tiga anak Muhammad Amirul Amsyar, 26; Nur amira Najwa, 23 dan Nur Amira Dhamia, 9.

Menurut Umirah Fuziah, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Melaka pada 7.30 malam tadi akibat serangan jantung ketika menjalani dialisis.

Katanya, awal Ramadan lalu, Allahyarham dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman sebelum kesihatannya kian merosot.

“Sebelum ini arwah menghidap sakit buah pinggang dan kencing manis. Kemudiannya pada Mac lalu, arwah diserang angin ahmar.

“Saya dimaklumkan doktor, ketika menjalani dialisis semalam, arwah pengsan dan keadannya kritikal menyebabkan doktor terpaksa melakukan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Apapun, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai solat jenazah.

JENAZAH selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Temu kira-kira jam 11 pagi tadi.

Allahyarham sebelum ini pernah berkhidmat lebih 27 tahun sebagai pengamal media di negara ini.

Beliau pernah menjadi wartawan dan Ketua Biro New Straits Time (NST) pada 1991 hingga 2003, sebelum dilantik sebagai Pengarang di Melaka Hari Ini bermula 2005 hingga 2007.

Di akhir kerjayanya, Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan sebelum berhenti pada 2018 atas faktor kesihatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1675
Kongsi :
Previous post Laporkan pendapatan tahun taksiran 2021 sebelum 15 Mei, elak penalti – LHDN
Next post Kementerian pengangkutan pandang serius isu teknikal perkhidmatan penerbangan
Ubah saiz-+=