Kementerian pengangkutan pandang serius isu teknikal perkhidmatan penerbangan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 11 Mei – Demi keselamatan, pematuhan teknikal peraturan penerbangan awam dan keselesaan penumpang, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengarahkan syarikat penerbangan memantau dengan lebih baik isu teknikal berkaitan perkhidmatan penerbangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebook rasminya semalam berkata, isu membabitkan penyampaian maklumat kepada penumpang juga perlu diberi perhatian bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

Katanya sejak beberapa hari lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerima dan menyiasat laporan penumpang menerusi beberapa saluran termasuk media sosial yang memberi maklum balas mengenai pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan penerbangan.

Beliau berkata, kerajaan bersimpati dengan nasib yang menimpa mereka berkenaan dan berusaha untuk menyelesaikan masalah disuarakan dengan syarikat penerbangan.

“Setelah melakukan rundingan dan siasatan, syarikat penerbangan terbabit telah diarahkan untuk segera menyelesaikan isu teknikal yang dialami oleh para penumpang.

“Kebanyakan aduan yang dibuat adalah berkait dengan trafik penumpang yang lebih tinggi daripada biasa semasa musim perayaan sehinggakan syarikat penerbangan terpaksa menggunakan sepenuhnya pesawat mereka untuk memenuhi permintaan.

“Pesawat yang menghadapi masalah teknikal juga telah ‘direhatkan’ daripada perkhidmatan untuk penyelenggaraan yang lebih teliti,” katanya.

Jelasnya MOT meminta orang ramai untuk kekal tenang dan terus memberi maklum balas terperinci kepada syarikat penerbangan bagi menyelesaikan sebarang isu operasi yang berlaku.

Setakat 10 Mei 2022, semua aduan berkaitan penjadualan semula dan kelewatan penerbangan telah dipulihkan .

“MOT dan agensi di bawahnya akan terus memantau setiap perkhidmatan penerbangan untuk memastikan prosedur penyelenggaraan serta isu teknikal dipatuhi tanpa kompromi.

“Pihak berkuasa juga telah menegur pihak yang terlibat untuk memastikan pematuhan peraturan teknikal, ekonomi dan keselamatan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pengendali yang gagal berbuat demikian.

“Adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk menambahbaik saluran komunikasi diantara penumpang dan pelanggan bagi memastikan mereka menerima maklumat berhubung status penerbangan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Kongsi :
Previous post Jenazah bekas pengarang Melaka Hari Ini selamat dikebumikan
Next post Harga sayur naik, tapi tak melampau – peniaga
Ubah saiz-+=