Sorting by

×

Jualan pra Ramadan tawar barangan harga patut

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 13 Mac – Jualan Pra Ramadhan Melaka Madani 2023 yang diadakan bermula 8 pagi hingga 6 petang di tapak Pasar Tani Bukit Katil, 21 Mac ini dijangka mampu memberi pulangan jualan sehingga RM200,000.

Sasaran itu turut dijangka diperolehi pada Jualan Pra Aidilfitri Melaka Madani 2023 di lokasi dan waktu sama pada 20 April depan.

Biro Ekonomi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datin Seri Azreen Abu Noh berkata penganjuran kedua-dua program itu adalah anjuran DMDI dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Katanya, sebagaimana program jualan yang dianjurkan DMDI di lokasi itu sebelum ini, hasil jualan yang diperolehi mencecah lebih kurang RM168,000 sehari, jadi sasaran itu dijangka dapat dicapai malah lebih daripada hasil jualan itu pada kedua-dua program terbabit.

“Menerusi program berkenaan sebanyak 6,000 kupon diskaun RM5 akan diedarkan di pasar berkenaan dan Japerun Bukit Katil bagi diguna pakai untuk membeli daging dan ayam.

“Selain itu, pelbagai jualan harga patut dengan diskaun lima hingga 20 peratus, antaranya minyak masak peket, telur ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya pada sidang media di pejabat DMDI di Kota Cemerlang, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan DMDI yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Pengerusi Biro Dakwah DMDI, Datuk Rahimin Bani.

Mengulas lanjut, Azreen berkata, kedua-dua program terbabit mampu meningkatkan keupayaan peniaga dan menstabilkan kos sara hidup rakyat dalam menghadapi musim perayaan.

“Kita menjangkakan sebanyak 50 gerai peniaga menjual pelbagai barangan akan menyertai kedua-dua program terbabit,” katanya.

Sementara itu Mohd Ridhwan berkata, sebagai Penyelaras, pihak JAPERUN Bukit Katil mengharapkan penduduk setempat memanfaatkan peluang yang ada kerana pelbagai barangan dijual dengan harga berpatutan di bawah harga pasaran.

“Saya dimaklumkan sasaran pengunjung akan hadir di program berkenaan adalah sekitar 2,000 orang bagi kedua-dua program tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1608
Kongsi :
Previous post Tanpa deposit, asnaf dialu-alukan berniaga di Bazar Ramadan Bukit Katil
Next post Usul tergempar tidak pakai tali leher diluluskan
Ubah saiz-+=