Kabinet setuju tubuh majlis pemulihan negeri – Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

KUCHING, 15 Dis – Kabinet bersetuju menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri bagi mempercepat pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penubuhan itu melibatkan jawatankuasa peranan tindakan peringkat daerah untuk menilai jenis bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan negeri tanpa memerlukan pembabitan Kerajaan Persekutuan.

“Kita telah buat keputusan untuk mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri, ini dipersetujui oleh Kabinet dan arahan sudah dikeluarkan supaya negeri-negeri segera menubuhkan majlis ini.

“Tanggungjawab untuk mempercepat proses pemulihan negeri bukan terletak di atas bahu Kerajaan Persekutuan sahaja. Arahan itu juga melibatkan peranan jawatankuasa tindakan di peringkat daerah yang dipimpin pegawai daerah, jadi dia boleh bawa ke (peringkat) negeri,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negara edisi Sarawak hari ini.

Muhyiddin juga berkata sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan di peringkat Persekutuan, MPN akan meneliti dan memperhalusi perkara itu untuk tindakan susulan.

Semasa sesi dialog awam itu, beliau meminta mereka yang menyuarakan cadangan kepada majlis itu menyediakan kertas atau memorandum lengkap untuk dimajukan kepada MPN.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sektor pendidikan serta pembaharuan permit bekerja bagi warga asing. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

479
Kongsi :
Previous post Polis Melaka bantu operasi risikan buru ‘Long Tiger’
Next post Long Tiger lolos dari tahanan ketika hadiri prosiding di Mahkamah Tangkak
Ubah saiz-+=