Polis Melaka bantu operasi risikan buru ‘Long Tiger’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DUYONG 15 Dis – Polis Melaka sedia mempertingkatkan operasi risikan di sempadan negeri untuk memburu tahanan dikenali Long Tiger yang melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya mendapat maklumat, suspek disahkan melarikan diri dari lokap berkenaan pagi tadi.

Katanya, berikutan itu pihaknya akan memberi bantuan dan kerjasama bagi membantu polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak bagi memburu suspek sekali gus mempertingkatkan kawalan sempadan.

“Kita ada dapat maklumat bahawa ada tahanan lari dari Tangkak (dan) di Melaka saya telah menggerakkan team cantas daripada (cawangan) jenayah untuk kita buat ‘coverage’.

“Kita akan buat risikan jika penjenayah ni masuk Melaka, kita tingkatkan kita punya risikan dan pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kami Prihatin diadakan di Dewan Terbuka Taman Seri Duyong, hari ini.

ABDUL Majid pada sidang media selepas merasmikan Program Kami Prihatin diadakan di Dewan Terbuka Taman Seri Duyong, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah tersebut pada jam 11.55 pagi sebelum perbicaraan bermula.

Suspek yang ditempatkan di Penjara Sungai Udang dibawa ke mahkamah berkenaan semalam bagi perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, suspek juga mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol di Mahkamah Majistret Muar.

Views:

1682
Kongsi :
Previous post RON97 naik satu sen dan diesel kekal
Next post Kabinet setuju tubuh majlis pemulihan negeri – Muhyiddin
Ubah saiz-+=