Kejutan buat guru KAFA cemerlang

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 30 Mei – Jasa Siti Zaitun Khazali, mendidikan anak bangsa mengenal ilmu agama dihargai selepas dia diumumkan sebagai penerima Anugerah Guru Kafa Cemerlang Kebangsaan.

Siti Zaitun, 51, berkata, selama 16 tahun dia berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan langsung tidak terfikir akan dipilih sebagai penerima anugerah itu.

Malah dia hanya mengetahui mengenai penganugerahan itu selepas melihat namanya yang tertera pada buku tentatif program ketika hadir ke Konvensyen Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

“Ini memang betul-betul kejutan, saya langsung tidak diberitahu apa-apa, sebaliknya hanya menerima panggilan telefon daripada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan pengesahan kehadiran ke konvensyen ini.

“Anugerah ini adalah penghargaan terbesar dan amat bermakna buat diri saya. Allahamdulillah dan syukur tidak terhingga atas peluang ini,” katanya ketika ditemui.

Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Naim Mokhtar; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Guru KAFA Sekolah Kebangsaan Jabi, Pokok Sena, Kedah itu berkata, meskipun dikelilingi murid ‘istimewa’ namun itu bukan alasan baginya untuk menjalankan amanah dipikul secara sambil lewa.

“Saya menggunakan pendekatan psikologi bagi membimbing anak murid. Memang berasa puas apabila ada dalam kalangan mereka memperoleh keputusan 6A bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK),” katanya.

photo1685432835
PENERIMA Anugerah Tokoh Guru Kafa Negeri Melaka, Malinda Md Yunos. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, bagi Tokoh Guru KAFA Melaka Malinda Md Yunos, 45, anugerah diterimanya adalah penghargaan terbesar selepas 26 tahun berkhidmat.

“Anugerah ini sebenarnya kejutan buat diri saya walau bagaimanapun saya bersyukur dan berterima kasih kerana memberi pengiktirafan kepada guru KAFA. Anugerah seperti ini akan menjadi semangat untuk kami semua.

“Sistem pendidikan agama sudah banyak berlaku trasformasi, elemen teknologi juga diterapkan bagi memberikan yang terbaik kepada murid,” katanya yang mengajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Maju, Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7310
Kongsi :
Previous post Penganjur perlu perincikan garis panduan
Next post Kampung di Melaka bakal ada kod QR
Ubah saiz-+=