Kemajuan Bahasa Melayu dan negara perlu seiring – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 24 September – Bahasa Melayu perlu diberikan nilai komersial dan diperkasakan mencakupi pelbagai bidang termasuk pendidikan, perundangan, sains dan teknologi, perdagangan, teknologi maklumat serta perkhidmatan kewangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkembangan bahasa Melayu perlu seiring dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

Sulaiman berkata, sebagai contoh negara maju tidak pernah mengetepikan bahasa kebangsaan yang mendasari pembentukan negara mereka.

Katanya, berikutan itu tidak hairan jika negara yang ekonominya berkembang pesat seperti China dan Jepun, bahasanya juga turut berkembang dengan pesat.

“Jika kita bertekad untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju, maka bahasa Melayu seharusnya perlu diberi nilai komersial seiring dengan kemajuan negara. Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dengan meluas dalam semua bidang, baik sektor awam mahupun swasta.

“Saya percaya, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah jambatan perpaduan. Diharapkan rakyat di negara kita dapat menguasai bahasa Kebangsaan dengan baik dan seterusnya memperkukuh perpaduan Keluarga Malaysia, jadikan bahasa Kebangsaan sebagai alat komunikasi utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari pada Majlis Pelancaran Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Melaka di Perbadanan Perpustakaan Awan Negeri Melaka (Perpustam), di sini, hari ini.

Menurutnya, pelbagai langkah diambil Dewan Bahasa dan Pustaka dalam memastikan bahasa Melayu dihayati dan diterima seluruh masyarakat, namun ia perlu disertakan dengan penegasan pelaksanaan dan penguatkuasaan sejajar peranan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

“Wakil rakyat dan jabatan kerajaan diharap menganjurkan program kebahasaan di kawasan masing-masing, saya berharap program seumpama ini tidak dijalankan secara bermusim, tetapi mestilah berterusan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta dan komuniti.

“Saya percaya agenda murni memperkasakan bahasa kebangsaan akan dapat kita capai seperti yang diungkapkan oleh Tokoh Budaya Melayu Nusantara, Pak Tenas Effendy atau nama penuhnya Tengku Nasharuddin S. Effendy,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1673
Kongsi :
Previous post KPM perlu jalin kerjasama dengan kumpulan pelbagai latar belakang – Radzi
Next post Percutian dalam negara masih dapat permintaan tingg – Tourism Malaysia
Ubah saiz-+=