Kempen Insentif Vaksinasi ‘Vax & Win’ tawar hadiah bernilai hampir RM1 juta

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Rakyat Malaysia berpeluang memenangi hadiah utama dua unit hartanah serta bulanan bernilai hampir RM1 juta menerusi Kempen Insentif Vaksinasi ‘Vax & Win’.

Kempen berkenaan inisiatif tanggungjawab korporat sosial (CSR) NCT Alliance Berhad (NCT Alliance) dalam usaha menyokong kerajaan menggalakkan suntikan dalam kalangan rakyat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, inisiatif itu diambil sebagai menghargai rakyat Malaysia terutama di negeri ini kerana menjayakan usaha kerajaan ke arah imuniti kelompok.

Katanya, bagi menggalakkan rakyat Melaka untuk mendapatkan dan melengkapkan vaksinasi COVID-19, lima cabutan bertuah setiap bulan diberikan khas kepada penduduk di negeri ini.

“Penyertaan bagi kempen itu akan dibuka bermula 1 Ogos ini hingga 31 Mac 2022.

“Ia terbuka kepada seluruh warga negara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang telah melengkapkan dua dos suntikan sama ada sebelum atau selepas tempoh kempen dilancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen anjuran NCT Alliance Berhad itu di Bilik Mesyuarat Tun Perak MMKN di Kompleks Seri Negeri di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Kumpulan NCT Alliance, Datuk Seri Yap Ngan Choy.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, pemenang hadiah utama itu akan diumumkan menerusi emel atau panggilan telefon pada April 2022 manakala pemenang hadiah bulanan diumumkan di laman sosial NCT.

Jelasnya, NCT Alliance menawarkan hadiah utama seunit hartanah bernilai RM423,800 di Ion Forte Green City di Ayer Keroh, bagi sejuta penyertaan pertama.

Katanya, manakala bagi penyertaan ke dua juta pula merupakan seunit hartanah Grand Ion Majestic di Genting Highlands, Pahang bernilai RM570,000.

“Secara tidak langsung, kempen itu dapat menggalakkan rakyat khususnya Melaka mendaftar program vaksinasi.

“Di samping diberikan vaksin, mereka boleh mendapat hadiah yang menarik,” katanya.

Untuk keterangan lanjut mengenai kempen berkenaan, orang ramai boleh melayari laman Facebook NCT di NCTgroupmy dan Instagram nctgroupmy.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post Stadium Hang Jebat dijadikan CAC
Next post 7 kematian, empat kluster baharu direkodkan di Melaka
Ubah saiz-+=