Kenal pasti atlet pelapis seawal usia 12 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 15 Disember – Semua persatuan sukan di negeri ini perlu mengenal pasti pelapis atlet seawal usia 12 tahun supaya dimasukkan ke dalam senarai panjang (long list) sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma).

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, persediaan menghadapi Sukma perlu bermula daripada akar umbi termasuk membaik pulih kemudahan serta infrastuktur sukan demi pembangunan sukan kontinjen Melaka.

Katanya, sekiranya kemudahan dan infrastruktur ini berada dalam keadaan baik, maka anak-anak pada usia muda seawal usia 12 tahun mampu menonjolkan bakat masing-masing menerusi penganjuran sukan berskala kecil.

“Apabila mereka mengambil bahagian dalam pertandingan itu, maka MSNM (Majlis Sukan Negeri Melaka) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri akan perhatikan kedudukan pemain, adakah mereka layak bersama dalam ‘long list’ Sukma.

“Ini adalah cara kita memilih atlet di negeri Melaka dan apabila mereka masuk dalam persatuan tersebut, persatuan tersebut mencungkil bakat anak-anak ini.

“Inilah (antara) kegunaan (peruntukan) RM5 juta itu iaitu untuk memastikan Negeri Melaka mampu bersaing dengan negeri-negeri besar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Shanmugam turut berharap tiada lagi pelapis sukan yang berpotensi besar diimport ke negeri lain sebagaimana berlaku pada masa lalu.

“Saya tidak mahu seperti masa lalu, di mana jurulatih dan juga pemain atau atlet yang sebelum ini belum masuk ‘long list, telah diambil negeri lain.

“‘Long list’ ini boleh menyenaraikan banyak nama untuk dicungkil sebagai pemain negeri contohnya seperti sukan wushu, Melaka adalah kilang terbaik di Malaysia.

“Kita ada ramai pemain atau atlet yang boleh memenangi pingat, di Melaka kita sasarkan emas dan kita ambil tiga terbaik namun bakinya pada tahun 2018 kita pinjamkan ke negeri lain dan yang dipinjamkan itu menang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1280
Kongsi :
Previous post Penghantaran 20 kenderaan perisai APC selesai suku keempat 2023 – MINDEF
Next post WHO harap darurat kesihatan global COVID-19 dapat ditamatkan tahun depan
Ubah saiz-+=