Kereta masuk gaung, cuba elak anjing

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

MASJID TANAH 2 Mei – Tiga rakan terselamat selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter dalam kejadian di Jalan Lendu, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu dipercayai berlaku apabila pemandu kereta terbabit berusia 25 tahun cuba mengelak seekor anjing.

Beliau berkata, sebelum kejadian kereta Proton Iriz dinaiki tiga mangsa berusia antara 21 hingga 25 tahun itu dalam perjalanan dari arah Masjid Tanah menghala ke Alor Gajah.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta terbabit hilang kawalan apabila cuba mengelak anjing ketika melalui lokasi kejadian.

“Akibat daripada itu kereta terbabit kemudian terbabas ke bahu kanan jalan dan melanggar pokok lalu termasuk ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter,” katanya.

Menurutnya, akibat daripada itu pemandu dan penumpang kenderaan mengalami kecederaan, mereka kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah bagi menerima rawatan.

“Pemandu dan penumpang berusia 23 tahun dirawat di Zon Hijau akibat kecederaan ringan manakala seorang lagi penumpang berusia 21 tahun menerima rawatan di Zon Kuning susulan kecederaan pada bahagian pinggang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5678
Kongsi :
Previous post Uniknya Aidilfitri Hang Tuah Jaya
Next post Gangguan bekalan gula di Pantai Timur pulih – Salahuddin
Ubah saiz-+=