Uniknya Aidilfitri Hang Tuah Jaya

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

HANG TUAH JAYA 2 Mei – Penganjuran rumah terbuka Aidilfitri dilihat menjadi wadah terbaik dalam penyatuan masyarakat berbilang bangsa di negeri ini.

Bagi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim yang pertama kali mengadakan rumah terbuka di Hang Tuah Jaya, beliau teruja melihat kemeriahan dan silaturahim ditunjukkan penduduk setempat.

“Uniknya Hang Tuah Jaya ini apabila orangnya datang semuanya saling mesra, kenal mengenali antara satu sama lain serta berbilang bangsa bersama-sama berkumpul, itu menjadi identiti di sini.

“Untuk penganjuran malam ini kita jangkakan kira-kira 4,000 tetamu yang juga warga Hang Tuah Jaya datang dan menjamu selera dengan pelbagai juadah yang menepati citarasa semua golongan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hang Tuah Jaya, malam tadi.

Majlis yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Hang Tuah Jaya di Pusat Perniagaan Putra Sentosa itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noordin; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Allex Seah Shoo Chin; Exco Belia, Sukan dan NGO VP Shanmugam serta lain-lain kenamaan.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, selain mengeratkan ukhwah antara penduduk penganjuran rumah terbuka Aidilfitri juga secara tidak langsung membantu usahawan setempat.

“Dengan penganjuran ini ia dapat membantu usahawan setempat menjana ekonomi apabila kita mengalu-alukan mereka dalam penyediaan hidangan kepada tetamu,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perasmian Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Hang Tuah Jaya, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan masyarakat di kawasan itu untuk menyalurkan sebarang aduan atau cadangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4749
Kongsi :
Previous post Cuaca panas tak halang orang ramai bersantai di pantai
Next post Kereta masuk gaung, cuba elak anjing
Ubah saiz-+=