Komuniti perkapalan, logistik salur RM510,000 bantu mangsa gempa Turkiye, Syria
PELABUHAN KLANG, 23 Feb – Komuniti perkapalan dan logistik Pelabuhan Klang, di sini hari ini menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM510,000 bagi membantu mangsa tragedi gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif hasil solidariti antara Northport (Malaysia) Bhd (Northport), Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) dan Infinity Logistics and Transport Sdn Bhd (Infinity) akan disalurkan kepada kedua-dua negara berkenaan menerusi Malaysian Relief Agency (MRA) dalam tempoh terdekat.
Loke berkata kutipan sumbangan itu diperoleh menerusi 47 syarikat perkapalan dan logistik dalam tempoh lima hari bermula 17 Feb lalu.
“Antara barangan yang akan disalurkan kepada mangsa gempa bumi itu adalah ubat-ubatan, khemah, selimut dan mesin generator dengan proses penyerahan kepada kedua-dua negara yang dihantar melalui Pelabuhan Utara dijangka mengambil masa sekitar 28 hari untuk sampai, katanya.
Beliau berkata pada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Inisiatif Bantuan Kemanusiaan Komuniti Perkapalan dan Logistik Pelabuhan Klang untuk Turkiye dan Syria, di Pelabuhan Utara, di sini hari ini.
Terdahulu, penyerahan sumbangan itu dilaksanakan oleh Loke kepada Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman dan disaksikan Duta Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.