Korban wang ringgit selamatkan chalet

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Ogos – Ketika kebanyakan umat Islam berkorban haiwan ternakan sempena Aidiladha semalam, seorang lelaki terpaksa berkorban RM5,000 bagi menyelamatkan chaletnya daripada runtuh ditelan hakisan pantai.

Ketika umat Islam yang berkorban haiwan ternakan menikmati pahala melakukan ibadah berkenaan, Yusof Yaakob, 63, terpaksa berkorban wang ringgit bagi memastikan hakisan tidak meranapkan chaletnya di pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak dekat sini.

Ahli perniagaan berkenaan tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa mendapatkan enam lori bermuatan bongkah batu yang setiap satu lori seberat 20 tan dan berharga RM700 untuk diletakkan di tembok yang sudah roboh dipukul ombak besar dan hakisan pantai sejak awal Jun lalu.

“Saya tidak boleh tunggu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina tembok penahan ombak kerana setakat ini belum ada maklum balas daripada jabatan itu mengenai kerja membina tembok berkenaan.

“Oleh sebab JPS belum ada peruntukan bagi menjalankan kerja itu, saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mendapatkan bongkah batu itu, selain menyewa jentera pengorek untuk memasang batu itu di tempat yang terhakis teruk,” katanya ketika ditemui di Chalet Atie Ira di pantai berkenaan hari ini.

Beliau berkata, jika sebelum ini hakisan pantai sejak awal Jun lalu hanya mengakibatkan tembok penahan ombak runtuh, kali ini hakisan sudah terlalu hampir dengan chaletnya.

Dengan jarak kira-kira 1.5 meter antara tembok yang sudah terhakis dengan dinding chalet, Yusof terpaksa bertindak segera bagi menyelamatkan bangunan berkenaan yang menempatkan 38 unit chalet yang dibinanya 10 tahun lalu.

Katanya, beliau tidak mahu menunggu lagi bantuan pembinaan tembok penahan ombak daripada JPS, sebaliknya terpaksa bertindak segera bagi mengelakkan bangunan chaletnya menjadi mangsa hakisan selepas lima pondok wakaf yang digunakan tetamu untuk memanggang ikan, runtuh minggu lalu.

Angin kencang dari arah barat menyebabkan pondok berkenaan runtuh satu demi satu dan kini semakin mengancam bangunan chalet, sekali gus menjejaskan perniagaannya.

Sehubungan itu beliau meminta JPS mengambil tindakan segera membina tembok penahan ombak sebelum hakisan meranapkan keseluruhan 38 unit chalet dalam beberapa blok bangunan.

Katanya, beliau tidak sanggup kehilangan perniagaan berkenaan kerana ia adalah sumber rezeki utama keluarganya sejak 10 tahun lalu.

Views:

248
Kongsi :
Previous post Stok pelitup muka mencukupi
Next post MAIM dan JAIM ambil alih SM Imtiaz Ulul Albab
Ubah saiz-+=