Koridor Ayer Keroh perkasa sektor pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 29 Okt. – Sektor pelancongan Ayer Keroh akan terus diperkasakan menerusi inisiatif Koridor Ayer Keroh yang mampu menarik lebih ramai pelancongan ke kawasan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata, menerusi pelan terbabit, Jawatankuasa Koridor Ayer Keroh telah ditubuhkan melibatkan semua penyertaan operator pelancongan Ayer Keroh.

Jelasnya, pelbagai penambahbaikan akan dijalankan bagi menarik pengunjung ke kawasan berkenaan termasuk penambahbaikan landskap di beberapa lokasi sebagai tarikan pengunjung.

“Melalui kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) mendapati kawasan Ayer Keroh merupakan kawasan tumpuan utama di Melaka disebabkan merupakan kawasan pintu masuk pelancong ke negeri ini.

“Beberapa perncangan lain akan dibangunkan di Ayer Keroh seperti pemasangan pencahayaan lampu dari jajaran pintu masuk Ayer Keroh, tarikan landskap di bawah jejantas malah Taman Sejarah juga akan dibangunkan dengan dataran bunga,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan 10 Tan Sayur-sayuran bersama Evergreen Energy di Zoo Melaka, di sini semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, jawatankuasa yang ditubuhkan itu juga mampu membantu pemain industri terlibat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya, pelan berkenaan juga bukan sahaja ditumpukan kepada pemain industri, namun turut memberi peluang kepada para peniaga di kawasan berkenaan.

“Dengan jawatankuasa ini kita mampu mendengar suara mereka dengan kita adakan pertemuan di setiap bulan untuk kita bantu mereka mengendalikan perniagaan.

“Malah kita memberi peluang jika mereka memerlukan MPHTJ untuk mengurangkan kadar lesen, ansuran ataupun sebagainya, kita akan permudahkan apa jua aktiviti perniagaan mereka,” katanya.

Views:

538
Kongsi :
Previous post Sukarelawan Melaka diperlukan bantu petugas kesihatan
Next post Belanjawan Melaka 2021: Cadang peruntukan RM5 juta perkasa usahawan Bumiputera
Ubah saiz-+=