KTMB tawar 4.4 juta tiket bagi tempoh Julai hingga Disember

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan 4.4 juta jualan tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi perjalanan 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Dalam satu kenyataan, KTMB memaklumkan jualan itu bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutamanya untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Hari Natal dan yang merancang pulang ke kampung semasa cuti sekolah atau bercuti dalam negara.

“Sebanyak 1.8 juta tiket ditawarkan untuk perkhidmatan ETS manakala perkhidmatan KTMB Intercity pula menawarkan sebanyak 2.6 juta tiket yang akan mula dibuka pada 15 Mei (Isnin) pukul 10 pagi.

“Selain itu, KTMB turut menawarkan dua perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya untuk perjalanan bermula 26 Mei hingga 5 Jun 2023 sempena cuti sekolah penggal pertama dan cuti umum,” menurut kenyataan itu hari ini.

KTMB memberitahu sebanyak 6,930 tiket ditawarkan sepanjang tempoh berkenaan dan jualan tiket tren tambahan ini juga akan dibuka mulai 15 Mei ini.

KTMB juga akan memperkenalkan tambang promosi maksimum RM10 bagi laluan antara stesen Sungai Petani ke stesen Padang Besar dengan menggunakan kod promosi ETSBERBALOI bagi tren ETS Platinum (KL Sentral-Padang Besar) iaitu EP9272, EP9274, EP9276 dan ETSBERBALOIGOLD untuk tren ETS Gold (Gemas-Padang Besar) iaitu EG9420.

“Bagi laluan Gemas-KL Sentral-Gemas pula sebanyak 50 peratus diskaun perjalanan ditawarkan dengan menggunakan kod promosi JIMATGEMAS yang melibatkan tren ETS EG9321, EG9322, EG9420 dan EG9425.

“Tempoh promosi ini bermula 15 Mei hingga 31 Dis 2023. Tambang promosi ini hanya boleh dibeli dalam masa 24 jam sebelum tren berlepas melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), kaunter tiket, kios atau melalui laman sesawang KTMB,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

997
Kongsi :
Previous post Dipukul kerana tak hormat senior
Next post PDTAG juara keseluruhan Anugerah Pengurusan Projek Terbaik Tahun 2022
Ubah saiz-+=