Lahirkan pewaris legasi batik Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

TABOH NANING 2 Disember – Pengalaman mencetak batik secara percuma menjadi antara tarikan utama pada sambutan Hari Batik Malaysia 2023, di Freeport A’Famosa Outlet, Simpang Ampat, di sini.

Program yang diadakan selama empat hari bermula 1 Disember dan berakhir 4 Disember itu menawarkan pelbagai pengisian menarik untuk pengunjung yang hadir.

Selain pameran dan jualan istimewa batik Melaka, pengunjung yang hadir khususnya kanak-kanak diberi peluang mempelajari teknik cetakan batik menggunakan blok tekapan yang disediakan, dengan bimbingan kakitangan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang menzahirkan kreativiti mencetak batik bersama keluarga.

Seorang pengunjung dari Jitra, Kedah, Apesah Abu Bakar, 40, berkata, pengalaman itu cukup berharga buatnya dan keluarga kerana diberi peluang mempelajari teknik penghasilan batik yang merupakan warisan negara.

Dia turut berpendapat program seumpama itu berupaya menarik minat generasi milenial dan alfa dalam menghargai seni batik.

“Identiti batik Malaysia ini wajar diketengahkan kepada golongan muda dan pengalaman berharga ini perlu diperluaskan pada masa akan datang.

“Ini penting bagi memastikan identiti batik yang dihasilkan setiap negeri dalam Malaysia diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Img 20231202 Wa0013
APESAH (kanan) bersama anaknya menunjukkan tekapan batik yang dihasilkan selepas diberi peluang mencorakkan seni warisan itu secara percuma pada penganjuran tersebut.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Muar, Azmi Khalid, 38, mencadangkan sambutan itu dianjurkan pada setiap bulan agar seni warisan batik diperkasa secara meluas.

Katanya, pengalaman bersama anak dan isterinya, Siti Sarah Halim, 37 yang turut diberi peluang mencorak batik sendiri merupakan satu aktiviti yang perlu diperluaskan dalam kalangan generasi muda.

“Untuk anak-anak muda saya rasa penganjuran ini perlu diperluaskan bagi meningkatkan bakat dan kemahiran mereka, lebih baik lagi jika ia diadakan setiap bulan supaya identiti batik di setiap negeri ini lebih dikenali.

“Setiap negeri ada identiti batik mereka tapi ramai anak muda tidak tahu perkara ini, jadi kita kena atur langkah bagi memastikan penganjuran seperti ini diperluaskan lebih-lebih lagi Melaka bakal menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tidak lama lagi,” katanya.

Rosmaizi Mohd Ali, 45, pula menyifatkan pendedahan dalam pengisian Hari Batik Malaysia 2023 perlu diperluaskan dengan pelbagai aktiviti menarik khusus kepada generasi baharu.

“Ini pengalaman pertama anak saya diberi peluang mencetak batik menggunakan alatan yang digunakan dalam industri batik dan setelah melihat cara anak saya mencetak batik saya nampak dia begitu berminat dengan aktiviti seni warisan seperti ini.

“Jadi, program sebegini mampu memberi impak kepada golongan muda yang bakal menjadi pewaris negara pada masa akan datang,” katanya.

Hari Batik Malaysia 2023 diisi dengan pelbagai aktiviti menarik, antaranya Jualan Rahmah Batik, Pameran, Demonstrasi Pembuatan Kraf Batik, Interaktif Kraf dan program Jom Membatik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1559
Kongsi :
Previous post Tak pernah jemu ke Pantai Puteri
Next post ‘Kaki tipu’ kena cekup
Ubah saiz-+=