Lahirkan usahawan wanita ‘berdigital’

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PENGKALAN BATU 4 Oktober – Usahawan Melaka khusus dalam kalangan kaum hawa di negeri ini, disaran supaya melakukan tranformasi daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi digitalisasi.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, bukan sekadar bergerak seiring perkembangan pesat ekonomi digital, adaptasi itu penting dalam membantu kaum hawa membina jaringan perniagaan serta meluaskan lagi pasaran produk masing-masing.

Berikutan itu Kalsom, mengajak lebih ramai usahawan wanita membuka minda mereka dan memanfaatkan perkembangan teknologi untuk lebih maju dalam apa juga jenis perniagaan atau perkhidmatan yang mereka tawarkan.

“Saya serius dalam hal ini, justeru itu Kerajaan Negeri menerusi agensi berkaitan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) menggerakkan program berkaitan bagi memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada usahawan sedia ada untuk memperluaskan lagi perniagaan diusahakan.

“Malah dibawah Pejabat Pembangunan Wanita (PPW) Negeri Melaka, kita mempunyai peruntukan bagi melaksanakan program untuk kaum hawa khususnya.

“Kita mahu ubah corak pemikiran kerana di luar sana, masih ramai lagi usahawan mempraktikkan konsep perniagaan secara konvensional sedangkan Melaka sedang bergerak kearah digitalisasi,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Wanita ‘Boost Your Business’ yang dianjurkan dengan kerjasama UPEN di Bukit Katil, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, selain suri rumah, wanita muda amat digalakkan untuk aktif dalam bidang keusahawanan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Melaka.

“Menggunakan peruntukan yang ada, kita akan cuba membantu dalam membentuk seorang usahawan, memberikan keyakinan dan semangat serta mendorong mereka mengaplikasikan kemudahan digital dalam operasi perniagaan harian,” katanya.

Kursus dianjurkan itu membabitkan seramai 120 usahawan wanita yang diberikan pendedahan mengenai ekonomi digital dan teknologi berkaitan selain strategik pemasaran produk.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1075
Kongsi :
Previous post Monsun Timur Laut: Lebih 20,000 anggota bomba bersiap-sedia
Next post Showcase SDSI jual 42 juadah tempatan dari 14 negeri
Ubah saiz-+=