Lakukan amang seksual, operator kilang dihadapkan ke mahkamah

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 19 Jun -Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan, awal bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Solehhuddin Ibrahim, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun tiga bulan, bagi maksud seksual di sebuah bilik hotel di Ayer Keroh, kira-kira jam 1.15 pagi pada, 7 Jun 2020.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- kanak 2017 yang boleh dihukum dibawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dengan sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli mencadangkan jumlah jaminan RM25,000 diberikan kepada tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengacau ganggu mangsa serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah, agar wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menyara dua anak masih kecil dan isteri.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta dia dilarang berhubung dengan mangsa dan perlu melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan selain pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 16 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Views:

474
Kongsi :
Previous post Astro bakal hadapi cabaran selepas permintaan menyusut
Next post Kilang proses ayam kotor dan jijik diserbu
Ubah saiz-+=