Langkah pertama kestabilan politik bermula di Melaka – Zahid

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 20 Nov. – Barisan Nasional (BN) yakin kestabilan politik negara akan bermula di Melaka selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) penggal ke-15.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai ketetapan akan diambil termasuk agenda transformasi dan pengukuhan bagi menjamin kestabilan politik yang akan menjadi landskap baharu negeri ini.

Antaranya ialah memperkenalkan enakmen lompat parti dan meminda peruntukan undang-undang untuk menangani isu lompat dalam kalangan Yang Berhormat (YB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Selain itu, katanya, BN juga akan mengusulkan kerjasama antara YB untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal untuk tempoh sekurang-kurangnya empat tahun daripada tarikh pertama persidangan.

“Kita juga akan memperkenalkan satu tanda kelola Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai panduan undang-undang konvension dan peraturan kerajaan negeri, selain memperkenalkan amalan undi percaya dan konstruktif ‘world of confidence’ untuk memastikan sebuah kerajaan yang tidak dijatuhkan.

“Pada masa sama, memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan dalam urusan persidangan DUN Melaka untuk membolehkan semua ahli YB memainkan peranan yang lebih efektif dalam penggubalan undang undang dasar dan semak serta imbang kerajaan negeri.

“Yang terakhir ialah mengusulkan peruntukan dan kebajikan kepada semua ahli-ahli YB secara adil yang akan diputuskan melalui sebuah jawatankuasa dewan yang dipengerusikan oleh Speaker DUN dan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman kemenangan BN pada PRN Melaka di BN Command Centre, di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menzahirkan keyakinan ketetapan agenda itu dapat menjamin kestabilan yang didambakan oleh Rakyat Melaka khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

“Langkah pertama BN ke arah menstabilkan politik negara bermula di Melaka, kerana di sini segalanya bermula,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

706
Kongsi :
Previous post PN kaji faktor kekalahan
Next post PRN MELAKA: Hampir 66 peratus keluar mengundi
Ubah saiz-+=