Latihan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando tingkat kemampuan, teknik hadapi pengganas

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

BATU GAJAH, 19 Julai – Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) ‘Counter Terrorist Team’ Pasukan Gerakan Khas 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kemampuan dan teknik dalam menghadapi ancaman pengganas di kawasan tumpuan orang ramai seperti lapangan terbang atau stesen kereta api.

LDP itu yang diadakan di Akademi Keretapi Malaysia (MyRa) di sini semalam, disertai kira-kira 60 pegawai dan anggota 69 Komando serta tujuh aset darat dan udara dan turut mendapat kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah dan kakitangan MyRa.

Komander 69 Komando SAC Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff berkata latihan itu diadakan untuk meningkatkan kemahiran dalam penugasan pasukan 69 Komando mengenai sesuatu keputusan yang perlu diambil semasa menghadapi ancaman pengganas ketika berlakunya operasi sebenar.

“Apabila kita melancarkan sesuatu serangan untuk menghadapi pengganas, kita akan mengkoordinat rancangan dan pelan tindakan yang perlu diambil dengan mengambil kira kelemahan dan kekuatan pasukan dan musuh.

“Kita perlu membiasakan dan sentiasa bersedia dalam apa-apa operasi yang melibatkan orang ramai seperti lapangan terbang atau stesen kereta api yang kemungkinan menjadi tumpuan atau sasaran pengganas kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas latihan berkenaan di sini.

Turut hadir menyaksikan latihan tersebut adalah Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Mohamad Roy Suhaimi Sarif, Ketua MyRA James Warren serta Pengurus Kanan Depoh Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Batu Gajah Zuraime Mohamad.

Pada latihan itu, sekumpulan pengganas yang dikenali sebagai ‘Arung Palakka’ telah menculik orang kenamaan dan pemandu peribadinya di sebuah stesen minyak di Batu Gajah sebelum melarikan mereka dengan menaiki sebuah ETS milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad).

Turut dijadikan ‘tebusan’ oleh kumpulan pengganas itu beberapa orang awam dengan petugas KTMB yang berada di dalam ETS berkenaan.

Rentetan daripada kejadian itu, Komander 69 Komando telah mengarahkan Skuadron Bravo untuk menyelamatkan tebusan dan meneutralkan pengganas di kawasan berkenaan.

Latihan yang dilaksanakan kira-kira sejam itu turut disusuli dengan bunyi letupan dan beberapa das tembakan untuk menumpaskan pengganas yang nyata memberi satu gambaran ancaman sebenar yang dihadapi oleh pasukan PDRM.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1320
Kongsi :
Previous post Pengarah JBPM Melaka antara tiga atlet ke Belanda
Next post Tertekan pedal minyak, rempuh stesen minyak
Ubah saiz-+=