Lebih 100 ‘hotspot’ banjir dikenal pasti di Melaka – APM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

Oleh Farah Suhaidah Othman dan Nur Iliyana Zainis Zainal

AYER KEROH 6 September – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka mengesan 124 lokasi panas atau ‘hotspot’ banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, semua lokasi berkenaan termasuk kawasan berhampiran sungai yang kerap dinaiki air ketika musim Monsun Timur Laut dijangka berlaku pada November ini.

“Negeri Melaka mempunyai 124 lokasi panas antaranya 59 lokasi di daerah Melaka Tengah, 23 lokasi di daerah Alor Gajah dan 42 lagi di daerah Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana Melaka dan daerah Melaka Tengah di Pejabat APM negeri di sini, hari ini.

CUTHBERT.

Mengulas lanjut, Cuthbert berkata bagi menghadapi musim berkenaan, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi memantau paras kenaikan air di negeri ini.

“Kita akan kerahkan pasukan pemantauan untuk pergi ke tempat strategik terutama di kawasan berhampiran sungai supaya kita bersedia memberi maklumat awal kepada penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan sekiranya berlaku banjir.

“Untuk ini kita sentiasa bersama rakan sahabat strategik (JPS) dan berhubung dengan mereka untuk mengetahui kenaikan paras air supaya APM cepat memberikan respons,” katanya.

CUTHBERT meninjau Pusat Kawalan Operasi Bencana Melaka dan daerah Melaka Tengah di Pejabat APM negeri di sini.

Berikutan itu, Cuthbert berkata seramai 230 anggota terdiri daripada keanggotaan tetap dan sukarelawan ditugaskan untuk memantau keadaan banjir di Melaka.

Jelasnya, APM turut menempatkan 477 keanggotaan sebagai tambahan sekiranya memerlukan penambahan dalam menghadapi musim banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

819
Kongsi :
Previous post Jangan jual kit ujian COVID-19 lebih RM19.90 di Melaka
Next post APM Melaka siap siaga hadapi musim tengkujuh
Ubah saiz-+=